Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SAYA dilahir dan dibesarkan di kampung sebelum merantau ke Kuala Lumpur pada usia 24 tahun pada 1984. Maknanya alam kampung sudah lama terbina dalam kehidupan saya. Berada di kota batu bernama Kuala Lumpur menjadikan kerinduan pada alam kampung bagai tidak dapat tertahan-tahan.
Bagaimanapun disebabkan lorong rezeki terbuka di Kuala Lumpur, keterasingan itu terpaksa diredah dengan penuh sabar. Kehilangan suasana kampung menjadikan saya begitu terasing dalam persekitaran yang baharu sentiasa riuh dengan manusia dan deru kereta.
Dalam keterasingan itu saya bertemu dengan Kampong Bharu, sebuah petempatan orang Melayu yang sangat dikenali waktu itu. Saya mulai menghayati kehidupan dan alam kampung di Kampong Bharu apabila kerap menghabiskan masa di rumah sewa teman-teman wartawan pada tahun 1980-an dan 1990-an di situ.
Sekalipun tidak sama sepenuh-nya dengan kampung asal saya, tetapi dapat mendengar kokokan ayam pada waktu subuh pun sudah terasa akan bahagianya kehidupan di kampung. Biasanya kalau ber-malam di rumah sewa teman-teman, awal pagi lagi saya sudah berada di beranda atau di jendela.
Saya menjadi begitu ralit melihat kehidupan di Kuala Lumpur bermula, manusia hilir mudik ke tempat kerja. Banyak dalam kalangan penduduk asal dan penyewa di Kampong Bharu bertali arus keluar bekerja. Mereka yang mengusahakan gerai dan kedai makan keluar lebih awal lagi.
Kampong Bharu yang berkeluasan 222 ekar itu adalah anugerah Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa kepada orang Melayu pada 1899.
Pada tahun 1980-an Kampong Bharu menjadi tumpuan perantau yang menyewa rumah atau bilik di Kampong Bharu, pilihan utama sebelum menyewa rumah setinggan.
Mereka yang masih bujang selalunya menyewa bilik dan yang sudah berkeluarga menyewa sebuah rumah kayu yang masih asli seni binanya dengan sewa yang pada relatifnya murah. Banyaklah masa terluang saya dihabiskan di Kampong Bharu, di rumah teman-teman wartawan kerana ingin ‘pulang’ dalam bingkai kenangan lalu di kampung halaman.
Waktu itu gaya hidup sebahagian besar dalam kalangan anak muda Kuala Lumpur adalah bersidai di pusat beli-belah sekalipun hanya ada beberapa buah sahaja di Kuala Lumpur. Sebelah malam pula yang agak berduit berbelanja di tempat-tempat hiburan.
Saya memilih bertandang ke rumah sewa teman-teman di Kampong Bharu, antaranya disebabkan suka dengan suasana kampung, apa lagi kalau makan beramai-ramai di beranda rumah seni bina Melayu.
Kampong Bharu membuatkan saya tidak terpisah jauh dengan kampung halaman di Perlis. Terasa masih dalam lingkaran yang sama walaupun Kampong Bharu tidak ada sawah yang saujana mata memandang luasnya. Tetapi Kampong Bharu memberikan alam kampung Melayu yang hampir sama, rumah kayu dan nilai-nilai budaya penduduknya.
Awalnya seperti tidak percaya masih ada perkampungan Melayu di Kuala Lumpur sekalipun ketika itu masih banyak terdapat kampung setinggan. Antara kampung setinggan yang terkenal di Kuala Lumpur adalah Kampung Kerinchi, Kampung Pertama di Salak Selatan dan banyak lagi di sekitar Cheras.
Bagaimanapun rumah di Kampong Bharu sangat berbeza berbanding kebanyakan rumah setinggan. Rumah di Kampong Bharu lebih berseni daripada binaannya sementara rumah setinggan pula sekadar berdirinya tempat berteduh daripada hujan dan terik matahari. Salah satu sebabnya rumah setinggan dibina secara tidak sah dan bila-bila masa sahaja boleh diarahkan berpindah sekiranya kawasan berkenaan hendak dibangunkan premis tertentu.
Sebab itulah banyak rumah di Kampong Bharu bercirikan tradisi seni bina Melayu dan ada yang sudah berusia lebih seratus tahun. Di Kampong Bharu juga terkenal dengan Rumah Biru yang mengekalkan seni bina tradisi. Sebenarnya banyak lagi rumah yang seperti itu. Bezanya ada yang tidak dipulihara dengan sebaiknya oleh pemilik.
Suatu waktu dulu Kampong Bharu terkenal dengan pasar minggu yang diadakan pada setiap hujung minggu. Sebenarnya bukan sekadar tempat menjaja, tetapi barang-barang yang dijual di situ lebih bercitra tradisi terutama makanan dan kuih. Kebanyakan makanan dan kuih yang dijual di pasar minggu Kampong Bharu jarang ada di tempat lain.
Daripada catatan sejarah, pasar minggu itu mula dibangunkan pada sekitar tahun 1930 oleh penduduk kampung. Tapak asalnya bermula dari pintu gerbang hingga ke Jalan Daud. Kemudian pada penghujung tahun 1930-an, tapak pasar minggu dipindahkan ke tempat baharu antara Jalan Raja Abdullah (dulunya Jalan Stoney) dan Jalan Jalan Raja Alang (dulunya Jalan Perkins).
Terdapat juga bermacam-macam jenis buah dan sayuran yang sebelum itu hanya boleh didapati di kampung-kampung. Tetapi pasar minggu itu semua buah-buahan yang hampir pupus itu ada dijual kepada warga Kuala Lumpur. Maka tidak hairanlah sebahagian besar pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kampong Bharu, tetapi dari seluruh Kuala Lumpur.
Pasar minggu itu boleh dianggap sebagai salah satu acara yang bersifat budaya dan tradisi, yang mengingatkan semula pada suatu masa yang lampau dengan adanya makanan dan kuih tradisi serta buah-buahan yang jarang dijual secara komersial di tempat lain.
Sebenarnya pengisian pasar minggu itu sangat sesuai dengan keberadaan Kampong Bharu yang mengekalkan ciri-ciri kehidupan berbudaya di tengah-tengah Kuala Lumpur. Persekitaran itu membuatkan pasar minggu Kampong Bharu begitu unik dan berkunjung ke situ adalah menjengah semula sebahagian daripada jalur kehidupan yang sudah hilang.
Kampong Bharu juga memiliki mercu tanda bersejarah iaitu Kelab Sultan Sulaiman yang didirikan pada tahun 1909 dan merupakan kelab eksklusif Melayu tertua di Kuala Lumpur. Menurut catatan sejarah, bangunan asal yang dibuat daripada kayu telah musnah dalam kebakaran pada 1930 dan dua tahun kemudian didirikan bangunan baharu daripada konkrit dan juga kayu.
Kelab Sultan Sulaiman menyaksi-kan sejarah besar negara antaranya menjadi tempat berlangsungnya pertemuan Kongres Melayu pertama pada 1 Mac 1946. Kongres itu mendukung gagasan besar merancang gerakan tersusun menentang gagasan Malayan Union oleh British. Sebanyak 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Malaya dan Singapura dengan 200 peserta berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman.
Ketika pertama kali menjejak kaki ke Kampong Bharu, saya terus mencari Kelab Sultan Sulaiman kerana namanya selalu disebutkan oleh arwah ayah suatu ketika dulu. Ayah tidak dapat datang ke kongres itu bersama kawan-kawan kerana kekangan kewangan.
Maka dapat berdiri di depan kelab itu pun sudah memberikan satu kebanggaan kerana akhirnya saya dapat menjejak kaki ke tempat bersejarah di negara ini.
Kini, apabila sesekali menyusuri lorong dan jalan di Kampong Bharu saya kembali terhantar pada masa lalu ketika mula-mula menjadi perantau di Kuala Lumpur. Kenangan itu sebenarnya amat manis, Kampong Bharu selalu mengingatkan saya pada kampung halaman dan nilai-nilai kehidupan masyarakatnya sekalipun berjarak lebih 500 kilometer di utara.