Berita

Komuniti Orang Asli akan sentiasa mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti – KKM

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 23 Julai 2024 12:45 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM)  akan sentiasa memastikan komuniti Orang Asli mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selari dengan hasrat menjamin kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia selaras slogan Hospital Orang Asli iaitu ‘Komuniti Orang Asli Sihat, Komuniti Orang Asli Sejahtera’.

“Oleh itu, patik berdoa agar Hospital Orang Asli, Gombak (HOAG) ini, seiring dan serangkai dengan seluruh fasiliti kesihatan lain seluruh negara, menjadi fasiliti kesihatan contoh.

Penubuhannya bertujuan memberikan perkhidmatan kesihatan untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu meliputi negeri Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata sepanjang tempoh dua tahun, iaitu dari 2022 hingga 2023, HOAG telah menerima kemasukan 1,434 pesakit Orang Asli di wad.

Sementara itu, pesakit yang menerima rawatan di Unit Pesakit Luar adalah seramai 12,153 orang, manakala pesakit yang menerima rawatan di Klinik Pergigian adalah seramai 3,348 orang.

Hospital Orang Asli berkenaan merupakan hospital tanpa pakar dengan kapasiti 61 katil yang menyediakan perkhidmatan seperti perubatan, kesihatan awam, pergigian, dan farmasi.

Dibina sebagai ‘Rumah Sakit Orang Asli’ pada 1960 khusus untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, hospital ini telah bertukar nama kepada Hospital Orang Asli pada 1972.

Pada 2012, KKM telah mengambil alih hospital ini daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Sejak itu, hospital ini kekal sebagai pusat rujukan bertaraf nasional bagi Orang Asli seluruh Malaysia, menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bersifat komprehensif dan holistik.

Terdahulu, ketibaan Seri Paduka Baginda diiringi isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan cek sumbangan berjumlah RM30,000  yang diserahkan kepada Pengarah HOAG Dr Izandis Mohamad Sayed. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas