KEPUTUSAN mengekalkan enam ahli Parlimen bekas ahli parti politik BERSATU sebagai wakil rakyat dibuat berdasarkan Perlembagaan dan taksiran undang-undang sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul adalah berlandaskan undang-undang yang memberi kuasa kepada Speaker untuk membuat keputusan.
“Kalau tafsiran undang-undang kena baca seluruhnya, jangan pilih satu dan tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan BERSATU baru-baru ini.
“Ia mengikut kepada undang-undang yang ditetapkan bukan soal Perdana Menteri, soal ketua pembangkang. Dia ikut undang-undang dan tafsiran undang-undang itu terserah kepada Speaker,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan sedia berbincang bagi meminda Akta Anti Lompat Parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.
“Perdana Menteri berkata Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta terbabit namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.
“Dulu kita cadang supaya mana-mana yang ditolak (dibuang) oleh parti, ditolak (mengosongkan kerusi) tapi tidak dipersetujui oleh kerajaan masa itu.
“Sebab dia masa tu orang UMNO masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja (tidak terkecuali). Dahulu dia (pembangkang) menentang, ramai tak tahu,” katanya.
Tambah Anwar, pihaknya juga bersedia berbincang bagi menambah baik atau meminda undang-undang yang sedia.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedia meneliti cadangan supaya Akta Anti Lompat Parti diperketat.
“Perdana Menteri ada nyatakan kita boleh teliti perkara ini, ia bukan perkara mudah dan kena ingat dahulu wakil daripada PH dan sejumlah hampir kesemua terbabit perbincangan waktu itu termasuk daripada UMNO yang menyokong supaya Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti bersifat lebih ketat.
“Pihak kami secara prinsipnya memang setuju diketatkan lagi bagi beberapa aspek pada waktu ini yang dilihat ada kelompangan,” katanya.
Sebelum ini, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Johari menerusi surat bertarikh 10 Julai.
Sehari kemudian, Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari. – WILAYAHKU