Fokus

Buli siber: Mangsa berisiko jadi pembuli

Gambar hiasan
- Diterbit 19 Julai 2024 11:00 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

MANGSA buli siber berpotensi untuk menjadi pembuli sekiranya tidak mendapat sokongan serta rawatan yang diperlukan.

Menurut Pakar Psikologi dan Pakar Rawatan Alternatif, Dr Wan Fikriah Dania Hamdan, keadaan itu boleh berlaku sekiranya mangsa merasakan dirinya tidak mendapat sokongan.

“Sebaliknya, mangsa melihat pembuli mendapat kekuatan daripada tindakan dilakukan dan akhirnya, dia yang terjebak menjadi pembuli, kemungkinan bukan untuk membalas dendam tetapi mendapat kekuatan diinginkan,” kata beliau yang dikenali sebagai Dr Dhia.

Dr Dhia berkata implikasi pembulian siber sangat serius menyebabkan mangsa menjadi resah, murung, marah serta berisiko menghadapi tekanan mental sehingga berpotensi membunuh diri sendiri.

Tambahnya, mangsa buli siber lazimnya akan lebih cenderung untuk mengalami kesan psikologi yang berpanjangan berbanding mangsa buli fizikal dan terdapat empat jenis kesan psikologi antaranya psiko-emosi di mana mangsa merasakan maruah dirinya tercemar serta menjadi bahan hinaan kebanyakan pengguna media sosial.

“Bukan itu sahaja, mangsa juga akan bertindak semakin agresif dan menjadi seorang yang pemarah dan kemungkinan besar orang sekeliling akan berasa tidak senang dengan perubahan drastik mangsa seterusnya membuatkan mereka ini lebih cenderung untuk mengisolasikan diri atau dipulaukan oleh rakan-rakan.

“Hal yang sedemikian akan mengganggu perkembangan yang sihat pada usia mereka dan mengakibatkan mangsa mengalami trauma yang teruk sekiranya mangsa adalah kanak-kanak atau remaja.

“Yang kedua adalah psiko-mental. Sebagai contoh buli siber yang berterusan akan menyebabkan mangsa berisiko besar untuk menghidap penyakit mental seperti depresi major atau kecelaruan keresahan sekali gus membuatkan harga kendiri mangsa juga akan semakin rendah dan merasakan dirinya tidak berguna.

“Tekanan emosi yang hebat dan berlarutan akan menyebabkan mangsa ingin mencederakan diri sendiri atau lebih teruk lagi berisiko untuk membuat percubaan membunuh diri. Ini adalah merupakan kemuncak kekejaman jenayah buli siber.

“Seterusnya, mangsa boleh mengalami kesan psiko-tingkah laku yang kebiasaannya berpunca daripada tekanan psikologi. Mereka ini berisiko untuk berubah secara drastik serta lebih teruk lagi berkemungkinan besar akan terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral seperti menyalahgunakan bahan terlarang seperti dadah, rokok dan arak untuk melupakan sekejap tekanan yang dialami oleh mereka.

“Akhir sekali kesan psiko-fizikal yang membuatkan mangsa berisiko untuk mengalami penyakit psikologikal yang mengganggu tabiat pemakanan seperti anoreksia nervosa dan bulimia nervosa. Buli siber juga akan mengakibatkan mangsa hilang selera makan atau makan lebih banyak daripada biasa.

“Selain itu, mangsa juga akan mengalami gangguan tidur atau dikenali sebagai insomnia ataupun mengalami mimpi ngeri berpanjangan,” ujarnya yang juga merupakan pengasas Klinik Semblance.

Mengulas lanjut, Dr Dhia berkata antara cara untuk mengelakkan diri daripada tertekan dengan perkara tersebut antaranya jangan cuba untuk melawan balik pembuli secara dalam talian atau lebih baik mengabaikan mesej gangguan serta meninggalkan bilik sembang jika perlu sekali gus dapat mengelakkan situasi menjadi semakin buruk.

“Selain itu, mangsa juga boleh meminta bantuan dan nasihat daripada pihak berkuasa dan ambil tangkap layar (screenshot) mesej atau komen gangguan sebagai bukti kerana ia penting untuk proses laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau tindakan undang-undang selanjutnya.

“Mangsa juga perlu menjaga kesihatan mental dengan jangan membiarkan buli siber menjejaskan harga diri atau kesejahteraan emosi, cari aktiviti yang digemari serta tumpukan perhatian pada aspek positif dalam hidup anda dan sekiranya ia menjejaskan mental, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau pakar,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pembulian siber sukar dikesan berbanding buli fizikal kerana ia berlaku secara dalam talian dan mungkin terdapat individu yang tidak menyedari bahawa mereka sudah menjadi mangsa.

“Antara tanda-tanda mangsa buli siber antaranya adalah mengasingkan diri daripada kawan-kawan dan keluarga; mengalami tekanan emosi semasa dan selepas penggunaan Internet; kelihatan gelisah apabila menerima e-mel atau mesej; mengelakkan perbincangan mengenai komputer atau telefon bimbit; mengalami perubahan tingkah laku, tidur, emosi dan selera makan; mudah marah serta gred dan prestasi di sekolah menurun,” katanya. – WILAYAHKU

MANGSA 1

SAYA pernah menjadi mangsa buli di sekolah dan perkara tersebut seperti tiada kesudahan apabila turut menjadi mangsa buli siber di awal percubaan saya untuk membuat content di media sosial pada tahun 2021.

“Minat dan hobi saya melukis jadi apa yang saya cuba kongsikan adalah hasil lukisan serta beberapa teknik buat mereka yang mahu mula melukis namun terdapat beberapa komen negatif beserta perkataan kesat seperti ‘content tak menarik, unsubscribe’; ‘tak lawa benda kau lukis ni macam ban*’; ‘Bo** punya content, jangan buat vlog la’ dan banyak lagi yang diselit di ruangan komen membuatkan saya berdepan dengan masalah kemurungan serta berubah menjadi seorang pendiam.

“Tapi saya berjaya lawan dan atasi segalanya di mana sekarang saya sudah pun mempunyai seramai lebih 5,000 pengikut di YouTube serta mempunyai kelas melukis sendiri malah ramai juga selebriti pernah menggunakan khidmat saya. Mengatasi kemurungan akibat buli siber tidak mudah dan amat memerlukan sokongan daripada orang sekeliling, hentikanlah buli siber, tiada kebaikan diperoleh daripada perbuatan tersebut.”

MANGSA 2

Pengalaman hitam itu bermula apabila saya menjadi pelanggan kepada seorang pempengaruh di mana berlakunya kesalahan dalam sesi jual beli yang membawa kepada pempengaruh tersebut memalukan serta mengutuk tubuh badan saya dalam media sosialnya.

“Disebabkan individu tersebut mempunyai pengaruh serta pengikut yang ramai, saya turut dikecam oleh para pengikutnya di media sosial tersebut sehingga membuatkan saya mengalami depresi yang teruk, mengganggu keharmonian rumah tangga serta timbulnya rasa mahu bunuh diri.

“Pada permulaannya, saya sudah berbincang dengan pihak sana untuk menarik semula hantaran tersebut namun tidak mendapat kerjasama yang baik membuatkan saya membawa kes ini ke mahkamah dan sehingga kini ia masih dalam proses. Walaupun begitu individu tersebut masih tidak berhenti daripada berkata buruk mengenai saya di media sosialnya dan mengajak pengikutnya untuk sama-sama berkata buruk mengenai saya.

“Saya tidak mempunyai sesiapa untuk meluahkan apa yang terjadi sehingga membuatkan saya anxiety dan rasa takut serta paranoid untuk keluar berjumpa dengan orang lain. Saya juga mengalami masalah imsonia hanya disebabkan mulut jahat manusia. Buli siber bukanlah perkara yang kecil kerana ia boleh hancurkan hidup seorang manusia. Saya cuma berharap pihak mahkamah dapat memberi keadilan untuk saya. Jangan pandang ia isu ringan sebelum ia menarik lebih ramai nyawa individu yang tidak bersalah.”

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas