Berita

Azli tekad basmi miskin bandar

- Diterbit 19 Julai 2024 9:50 AM MYT

MESKIPUN baru menjadi wakil rakyat di Parlimen Shah Alam sejak November 2022 lalu, beliau bukanlah orang baharu sebaliknya setiap inci masalah di kawasannya telah pun berada di dalam ‘poket’ berikutan sebelum ini pernah menjadi Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam beberapa penggal. Beliau juga aktif dalam persatuan penduduk selain pernah dilantik menjadi nazir masjid sekali gus memahami dengan jelas keperluan warga Shah Alam.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof turut menyatakan tekadnya untuk membangunkan golongan miskin bandar dan pada masa sama memastikan pembangunan pesat di Shah Alam tidak meminggirkan infrastruktur dan kemudahan awam yang lain demi memastikan penduduk menikmati kualiti hidup yang baik setanding bandar raya lain.

Ikuti wawancara beliau bersama Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY di Parlimen baru-baru ini.

Apakah keperluan penduduk yang paling mendesak di kawasan YB, dan bagaimana merancang untuk menanganinya?

Shah Alam adalah sebuah bandaraya yang pesat membangun. Penduduknya menghampiri jumlah 800 ribu orang. Manakala Parlimen Shah Alam mempunyai bilangan penduduk melebihi 400 ribu orang dengan jumlah pengundi mencecah 180 ribu orang. Saya mengandaikan jumlah pengundi di Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti melebihi angka 200 ribu orang.

Kemunculan kawasan komersil dan kediaman juga semakin bertambah. Sudah pasti ia mengundang kepada beberapa keperluan asas dan mendesak meliputi aspek ekonomi, sosial dan infrastruktur.

Keadaan ini menuntut saya mengamalkan budaya libat urus dan penglibatan berterusan dengan penduduk setempat, pemimpin masyarakat, pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan agensi yang berkenaan untuk mempastikan keperluan dan isu-isu berbangkit dapat ditangani dengan berkesan.

Bolehkah YB mengenal pasti cabaran ekonomi, sosial dan infrastruktur utama yang dihadapi kawasan YB, dan apakah strategi untuk mengatasi?

Seperti bandaraya lain yang pesat membangun, Shah Alam tidak terkecuali berhadapan dengan cabaran ekonomi melibatkan kos sara hidup, pasaran pekerjaan yang bersesuaian dan peluang perniagaan terutamanya bagi usahawan dan peniaga kecil.

Kewujudan golongan miskin bandar antara cabaran sosial yang kami tangani untuk mempastikan tidak ada yang terpinggir dari menikmati kehidupan yang selesa. Walaupun kejadian jenayah kecurian dan pecah rumah agak terkawal, ia tetap menjadi ancaman dan cabaran untuk mempastikan kediaman yang aman dan tenteram.

Kepadatan penduduk Shah Alam yang semakin meningkat menuntut kepada infrastruktur yang cekap dan mencukupi. Antara lain ia melibatkan kemudahan hospital awam dan sekolah yang mencukupi serta sistem jalan raya dan pengangkutan awam yang cekap.

Ini adalah perkara yang sering saya bangkitkan di Parlimen samada melalui perbahasan dan pertanyaan-pertanyaan. Malah ada juga usul yang saya bangkitkan di Kamar Khas. Selain itu saya juga mengadakan kunjungan dan libat urus dengan kementerian dan agensi yang berkenaan agar perkara ini mendapat perhatian.

Apakah dasar atau inisiatif khusus yang telah YB laksanakan atau rancang untuk dilaksanakan bagi meningkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan awam?

Dasar dan initiatif yang berdaya tahan melibatkan komitmen kewangan dan sumber yang besar. Lazimnya dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan PBT. Saranan dan maklum balas penduduk sering kita majukan kepada pihak berkenaan.

Dengan sumber dan dana yang terhad, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam turut mengadakan initiatif bagi menampung kekangan yang ada di pihak kerajaan. Kami berkerjasama dengan komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta antaranya mengadakan program pemeriksaan kesihatan, bantuan peralatan kesihatan kepada pesakit kronik, seminar peperiksaan dan tuisyen rakyat, serta pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Bagaimanakah YB mengutamakan dan mengimbangi keperluan dan kepentingan pelbagai kumpulan demografi yang berbeza dalam kawasan seperti belia, warga emas dan komuniti terpinggir?

Sudah pasti antara keutamaan kami adalah untuk membantu golongan yang lebih memerlukan seperti miskin bandar, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang berhadapan dengan kepayahan hidup di bandar. Ada yang kami santuni dan bantu keperluan secara individu dan ada juga yang dibantu melalui program yang diadakan secara berkala dan bermusim. Ada juga yang dibantu melalui projek kecil pembaikan rumah yang uzur dan kerosakan disebabkan musibah dan bencana.

Selain itu kami juga sering menyantuni golongan belia melalui aktiviti yang sesuai dengan jiwa dan kecenderungan mereka. Lazimnya ia melibatkan kegiatan sukan dan pendedahan kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan. Baru-baru ini kami melancarkan program Friends of Shah Alam untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai belia Shah Alam dalam aktiviti sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Pusat Khidmat kami juga sering bekerjasama dan memberi sokongan kepada program dan aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan penduduk, masjid dan surau, rumah ibadat bukan Islam serta pelbagai NGO.

Apakah sumber pembiayaan utama untuk projek cadangan YB, dan bagaimanakah memastikan penggunaan dana secara telus dan berkesan?

Pusat Khidmat kami menerima dana dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disalurkan melalui Unit Koordinasi Pelaksanaan, ICU-JPM. Pembiayaan ini terbahagi kepada dua kategori. Yang pertama adalah untuk melaksanakan aktiviti kebajikan, bencana dan kemasyarakatan. Yang kedua adalah untuk membiayai Projek Mesra Rakyat (PMR) iaitu untuk projek-projek kecil seperti naik taraf, penggantian dan penambahbaikan struktur dan fasiliti yang ada pada sesebuah komuniti.

Untuk pastikan ketelulasan dan keberkesanan penggunaan dana, pegawai-pegawai saya akan pastikan hanya penerima yang benar-benar layak untuk diberi mendapat bantuan dan sokongan mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh ICU-JPM.

Laporan bagi setiap bantuan dan program yang dilaksanakan akan disediakan dan diserahkan kepada pihak ICU-JPM sebagai rekod untuk pengesahan dan penilaian mereka.

Pihak ICU-JPM juga turut mengadakan audit dalaman terhadap penggunaan dana ini dari semasa ke semasa.

Apakah langkah yang YB ambil untuk melibatkan diri dengan pengundi secara kerap dan memastikan suara mereka didengari?

Seboleh-bolehnya, saya akan pastikan untuk memenuhi setiap jemputan dari penduduk dan institusi yang ada dalam masyarakat. Jika tidak, saya akan hantar pegawai sebagai wakil. Dari sini kami akan dapat berinteraksi dan menyelami saranan dan suara rakyat.

Selain Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Shah Alam dibuka setiap hari Isnin-Jumaat, kami juga mengadakan Kaunter Bergerak Parlimen Shah Alam setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Seminggu sekali kami mengadakan Ziarah Peduli Salam Jumaat untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik. Saya sendiri melazimi aktiviti Singgah Subuh setiap hujung minggu. Saya gilirkan surau dan masjid untuk solat subuh, mendengar kuliah dan bermesra dengan jemaah.

Bagaimanakah YB menilai kejayaan dasar dan inisiatif dan apakah mekanisme yang disediakan untuk menyemak dan menyesuaikannya jika perlu?

Kami bermesyuarat sebulan sekali untuk menyemak, menilai dan merancang aktiviti yang bersesuaian agar sampai kepada sasaran. Selain itu kami juga sedia mendengar pandangan dari pelbagai pihak yang peduli dan komited membantu kami mempastikan kesejahteraan rakyat di Shah Alam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas