GANJARAN habuan wang tunai berjumlah RM5,000 dari kerajaan negeri menanti atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, insentif tersebut akan diberikan kepada atlet kategori individu manakala kategori berpasukan bakal menerima imbuhan sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000.
“Untuk pingat perak, atlet individu bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, RM1,000 hingga RM1,500 pula untuk atlet berpasukan. Mereka yang menerima gangsa menerima RM1,000 dan atlet berpasukan menerima RM500 hingga RM700.
“Jurulatih atlet berkenaan pula bakal menerima RM1,000 bagi kategori sukan individu dan sukan berpasukan manakala untuk acara berpasukan pula akan mendapat imbuhan RM500.
“Pengurus pasukan pula ditawarkan insentif RM500 bagi setiap sukan yang memperoleh pingat emas,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Ke SUKMA XXI Sarawak 2024 Dan Pelancaran Logo Baharu Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
Dalam masa sama, Zaliha memaklumkan kontinjen WiPers meletakkan sasaran 70 pingat emas bagi memastikan matlamat untuk muncul juara pada SUKMA ke-21 menjadi kenyataan.
“Kontinjen WiPers menghantar antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan penyertaan keseluruhan 1,011 atlet dan pegawai (705 atlet) pada SUKMA XXI Sarawak 2024 dan akan menyertai kesemua 37 jenis sukan,” ujar beliau.
Sebagai rekod, WiPers memenangi 55 pingat emas, 68 pingat perak dan 64 pingat gangsa pada SUKMA XX MSN dan menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang negeri Johor dan Terengganu. – WILAYAHKU