Berita

Kim Pan Gon letak jawatan

- Diterbit 16 Julai 2024 3:10 PM MYT

KIM Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan berkuat serta-merta, atas alasan komitmen peribadi.

Pada satu sidang media khas di Wisma FAM hari ini, jurulatih berusia 55 tahun berasal dari Korea Selatan itu berkata telah membuat keputusan untuk berundur awal, walaupun kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah sehingga Disember 2025.

“Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak. Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah, dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA.

“Pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Korea Selatan, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Penolong Ketua Jurulatih Pau Marti Vicente dari Sepanyol, dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, dibantu seorang lagi Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan E. Elavarasan.

Beliau berkata staf kejurulatihan lain iaitu Penolong Jurulatih Park Bobae, Jurulatih Penjaga Gol Cho Junho, Jurulatih Kecergasan Jihyeon Park dan Jurulatih Analisis Prestasi Lim Jaehun, akan terus kekal membantu Pau Marti, 41, dan Elavarasan berdasarkan kontrak masing-masing.

“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024, yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

“Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi pasukan dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti, terutama menjelang Piala ASEAN 2024 (Piala AFF) pada November dan Disember ini, serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas