TERDAPAT dua pihak berkepentingan yang tidak sependapat mengenai status terkini pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur sekali gus menyebabkan polemik timbul berhubung projek berkenaan.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata polemik yang timbul adalah disebabkan pihak pertama, yang dilabelkan sebagai kumpulan majoriti, adalah pihak yang bersetuju dengan tawaran usaha sama (JV) pihak pemaju dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Manakala sebahagian pihak lain, iaitu pihak kedua atau pihak minoriti pula tidak menerima tawaran JV pihak pemaju dan tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang diterima setelah tanah mereka diambil melalui Akta Pengambilan Tanah 1960, dan enggan mengosongkan premis.
“Nisbah antara pihak majoriti dan minoriti ini adalah 66.77 peratus berbanding 33.23 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau-PN) pada sesi jawapan menterj di parlimen hari ini.
Zaliha berkata beliau berkesempatan bertemu dengan kedua-dua pihak di bangunan pejabat Perbadanan Kampong Bharu (PKB) dan mendengar dengan teliti setiap penjelasan serta harapan yang disuarakan.
“Walau bagaimanapun, setelah pertimbangan dibuat, saya berpandangan Kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru,” katanya.
Menjelas lanjut, Zaliha berkata antara asas-asas pertimbangan adalah apabila urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah adilberasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah dan pemberian tambahan pampasan diberikan diantara 10-15 peratus oleh JKPTG.
“Malahan golongan minoriti ini telah diberikan penempatan sementara, dan juga pernah diberikan peluang yang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan yang lebih besar, selesa, dan guaranteed value yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjian JV dengan pihak pemaju,” katanya.
Katanya, majlis pecah tanah projek pembangunan semula itu dijaduakan diadakan pada hujung tahun ini.
“Pelaksaan pembinaan boleh dimulakan pada suku pertama tahun 2025 setelah mendapat kelulusan perintah pembangunan (DO) daripada
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya. – WILAYAHKU