Berita

JKR serah kepada pihak berkuasa cari punca sebenar kemalangan lubang mendap

- Diterbit 21 Jun 2024 2:57 PM MYT

JABATAN Kerja Raya (JKR) Malaysia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan.

Ia susulan kemalangan yang meragut nyawa seorang pemandu lori selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat, baru-baru ini.

JKR dalam satu kenyataan berkata pada awal Januari lalu, Laluan Persekutuan (FT12) di Seksyen 102 telah ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan struktur bebo arch culvert ekoran kejadian banjir.

Menurutnya, lanjutan penutupan jalan tersebut, satu laluan lencongan dan jambatan sementara (bailey bridge) telah dibina bagi memastikan rangkaian perhubungan jalan raya tidak terputus.

“Hasil siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian mendapati bahawa Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilaksanakan dari kedua-dua arah bagi meningkatkan tahap keselamatan serta sebagai makluman atau amaran awal kepada pengguna.

“TMP yang telah dipasang adalah mengikut prosedur dan spesifikasi ditetapkan seperti penyediaan papan tanda sementara (lencongan, had laju dan had muatan); penyediaan garisan jalan sementara dan penyediaan penghadang jalan,” katanya hari ini.

Tambahnya, JKR turut menyediakan beberapa insiatif tambahan seperti mengadakans peed bump bagi mengurangkan had laju kenderaan dan memasang lampu solar di sekitar laluan lencongan bagi meningkatkan pencahayaan dan tahap keselamatan terutamanya pada waktu malam.

“Untuk makluman, JKR Malaysia sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja-kerja penggantian jambatan kekal di lokasi terebut.

“Justeru, pihak JKR memohon semua pengguna jalan raya di laluan tersebut agar lebih berhati-hati serta mematuhi papan tanda dan had laju yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas