BAGI mereka yang menggemari makanan laut, pastikan anda tidak terlepas menyenaraikan Labuan sebagai destinasi yang wajib dikunjungi tatkala bercuti di pulau bebas cukai ini.
Kaya dengan sumber laut, pulau yang rancak dengan aktiviti minyak dan gas ini meriah dengan perusahaan ikan bilis segar. Tidak hairanlah pelancong tidak melepaskan peluang untuk mengunjunginya bagi membeli buah tangan sebelum pulang.
Antara perusahaan ikan bilis yang sering menjadi tumpuan adalah Salinang Maju Enterprise yang terletak di kawasan perumahan atas air di Kampung Bebuloh Laut.
Menariknya, perusahaan yang dijalankan oleh penduduk tempatan itu bukan sahaja menjual produk ikan bilis bahkan turut memberi peluang kepada pelancong untuk melakukan aktiviti pemprosesan ikan bilis bermula daripada proses penangkapan sehinggalah pembungkusan.
Menurut pemiliknya, Sabtu Awang Aminah, pada awalnya perusahaan yang beroperasi pada tahun 2015 itu hanya sekadar dijadikan sumber pendapatan sampingan namun tidak menyangka ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Sejujurnya kami tidak menyangka perniagaan ikan bilis menjadi tumpuan dan tidak putus-putus dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara yang bercuti di Labuan.
“Pada awal berniaga dahulu, tidak terlintas pun kilang yang dibina bersebelahan kediaman ini menjadi tempat tumpuan. Masa itu saya tidak menaruh harapan memandangkan kawasan ini adalah kampung sahaja.
“Namun setelah beberapa tahun, saya mula menyedari saban hari semakin ramai yang datang berkunjung ke sini dan membeli produk-produk kami,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Sabtu berkata hasil tangkapan yang berjaya diraih dalam masa sebulan adalah sekitar dua hingga tiga tan manakala bagi hasil kering pula sebanyak 400 hingga 500 kilogram sehari.
“Ikan yang dikeringkan atau dijemur akan diproses serta dikategorikan mengikut jenis dan gred. Bagi ikan bilis pula, kita ada gred A, B,C yang siap dikopek dan dikategorikan mengikut saiz kepanjangan.
“Manakala jenis ikan pula antaranya ikan tamban, ikan kekek dan ikan bilis. Kesemua ikan ini dipilih dan digredkan selepas kering supaya ia tidak rosak,” ujarnya.
Dia turut memaklumkan produknya telah berjaya menembusi pasaran Semenanjung, Kuching dan negara jiran, Brunei selain turut meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.
BINA PELANTAR TINJAU
Berkongsi mengenai perancangan masa hadapan perusahaannya, dia dan isteri sedang menambah baik kemudahan untuk keselesaan pengunjung yang datang ke kilang.
“Kami sedang merancang untuk membina kios kecil di sini dan digunakan untuk menjual dan mengetengahkan produk-produk keluaran tempatan seperti kraf tangan, makanan tradisi dan sebagainya.
“Selain dapat memperkenalkan produk tempatan, ia juga dapat membantu penduduk tempatan khususnya di kampung ini menjana hasil pendapatan.
“Dalam masa yang sama, saya juga merancang untuk membina pelantar tinjau beserta pakej ekopelancongan kepada pengunjung untuk merasai suasana kampung dan keindahan alam semula jadi yang terdapat di Labuan,” ujarnya. – WILAYAHKU