BERSEMPENA Misi Khas Perniagaan Francais Malaysia di Jakarta, Indonesia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM30 juta.
KUSKOP berkata Misi Khas Perniagaan Francais ini bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran di Indonesia yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk sebanyak 281 juta orang.
“Ia turut menyaksikan program padanan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia bersama pelabur serta usahawan tempatan Indonesia bagi kerjasama perniagaan.
“Usaha ini selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai kesejahteraan yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bermula semalam sehingga 12 Jun ini di Hotel St. Regis, Jakarta, Indonesia, inisiatif tersebut berjaya menarik penyertaan lebih daripada 100 usahawan tempatan, pihak industri francais di Indonesia serta kehadiran wakil dari Asosiasi Francais Indonesia (AFI) dan Perhimpunan Waralaba & Lisensi Indonesia (WALI).
“Delegasi turut berkesempatan mengadakan lawatan kerja bagi melihat secara lebih dekat beberapa syarikat francais Indonesia dan Malaysia yang beroperasi di sana,” ujarnya.
Katanya misi ini merupakan kolaborasi KUSKOP bersama Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Misi itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak, disertai wakil daripada Persatuan Francais Malaysia dan 11 syarikat francais Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan iaitu Marrybrown, Mokti’s, Tea Garden, D’Tandoor, HOME Maths Therapy, IrisPro, Little Caliphs, Muzart, Smart Reader Kids, UCMAS dan FatNinjas. – WILAYAHKU