KELAB Belia Anak Layangan (KEBAL) Labuan sekali lagi meraih tempat ketiga Anugerah Belia Perdana Negara peringkat kebangsaan bagi kategori pertubuhan 2024 sempena Sambutan Hari Belia Negara yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Melaka, baru-baru ini.
KEBAL yang merupakan pertubuhan yang mewakili Labuan itu menerima hadiah wang tunai sejumlah RM10,000 sijil dan piala iringan.
Sesi penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Timbalan Pengerusi KEBAL, Nur Azila Saftu, pihaknya menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut yang membuktikan bahawa suara, usaha dan bakti golongan belia sentiasa di ambil berat oleh Kerajaan.
“Syukur alhamdulillah dengan kemenangan ini dan kami persatuan KEBAL mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Rakan Muda dan Majlis Belia Labuan dan mereka yang terlibat dan sentiasa membantu dan menyokong dalam apa jua aktiviti dan program yang KEBAL laksanakan.
“ Dengan penganugerahan ini, kami akan terus memperjuangkan dan berbakti kepada masyarakat khususnya di Labuan,”katanya kepada WilayahKu.
Terdahulu, KEBAL merupakan juara bagi kategori Pertubuhan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) sempena Sambutan Hari Belia Negara 2024 peringkat Labuan dan telah mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan. -WILAYAHKU