PERBABADAN Putrajaya (PPj) meluaskan lagi pelaksanaan inisiatif kitar semula komuniti anjurannya dengan pelancaran Program Jualan Preloved Treasure dalam usaha mewujudkan negara yang bebas sisa buangan.
Menurut Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, Program Jualan Preloved Treasure merupakan kesinambungan Jualan Butik 3R secara tertutup di Pusat Kitar Semula Putrajaya yang telah bermula sejak 2010 lagi di awal pengoperasian pusat kitar semula.
“Biasanya pakaian lama atau baju terpakai berakhir dalam tong sampah atau setidak-tidaknya pun dijadikan kain perca atau kain lap, selain alas kaki.
“Jadi pihak kami melaksanakan program ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli pakaian terpakai dengan harga serendah RM3.
“Hasil jualan akan dimanfaatkan bagi penambahbaikan pengoperasian kitar semula,” ujar beliau.
Helmi berkata program tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi mengurangkan sampah ke pusat pelupusan dengan menjadikan pakaian terpakai yang dibuang untuk dijual semula kepada yang memerlukan.
“Alhamdulillah setakat ini kami menerima respons yang sangat positif daripada pengunjung Pusat Kitar Semula dan kebanyakan dalam kalangan mereka turut berminat untuk membeli pakaian dan juga novel terpakai.
“Hal ini kerana kadar yang mampu milik dengan kualiti pakaian yang baik dan jauh lebih rendah dari pasaran luar dan RM3 untuk semua jenis pakaian,” ujarnya.
Selain itu, Helmi memberitahu program dengan kerjasama pihak Alam Flora Environmental Solution (AFES) selaku operator yang menjalankan operasi kitar semula di Putrajaya, komuniti setempat dan warga PPj ini diadakan sebulan sekali pada Sabtu minggu ketiga.
“Ayuh hadirkan diri anda dan sertai kami. Pihak PPj dan AFES memberikan komitmen penuh untuk mencetus perubahan positif dalam masyarakat termasuk membina masa depan yang lebih lestari buat semua.
“Kami juga membuat perancangan supaya program ini dianjurkan ke Carbooth Sale Area Putrajaya.
“Kami berharap pihak PPj dapat menyediakan kemudahan dan program 3R menyokong usaha Menteri Wilayah Persekutuan dalam memperkasakan ekonomi sekular khususnya di Putrajaya,” ujarnya yang turut berharap untuk terus meluaskan program kitar semula kepada komuniti luar bandar pada masa hadapan. – WILAYAHKU