SELARAS dengan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 dan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Neutral Karbon menjelang tahun 2050, Taklimat Amalan Rendah Karbon telah dilaksanakan melibatkan guru-guru (Setiausaha Kokurikulum) dari sekolah-sekolah di Kuala Lumpur.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memberikan penerangan mengenai usaha yang dirintis dalam memastikan Kuala Lumpur mencapai sasaran yang ditetapkan.
Dalam hantarannya di Facebook, DBKL berkata program tersebut menyasarkan peringkat sekolah, murid-murid dan pendidik yang bertindak sebagai ejen perubahan kepada masyarakat Kuala Lumpur.
“Semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan dalam mencapai matlamat ini.
“Penyertaan dalam program ini memberi peluang kepada warga sekolah untuk menjadi pemangkin dalam pembentukan kemenjadian murid dan membawa manfaat kepada warga Kuala Lumpur sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan berkualiti,” katanya.
Menurut DBKL, seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030) menerusi SD4 iaitu Peranan Pendidikan, ia sangat penting untuk menyokong pencapaian matlamat pembangunan mampan dengan mengambil kira keperluan generasi akan datang.
“Pendidikan juga memastikan warga sekolah memenuhi keperluan global. Oleh itu, peranan pendidik dalam memperkasakan diri dengan ilmu pedagogi alam sekitar amat penting agar dapat digunapakai dalam pengajaran dan pembelajaran kurikulum dan kokurikulum,” katanya.
Tambahnya, dengan perancangan dan pelaksanaan program sekolah mampan yang dirangka, diharapkan lebih banyak sekolah akan terlibat dalam program ini.
“Program Sekolah Mampan Kuala Lumpur ini dapat menjadi wadah untuk membentuk pelajar, guru, warga sekolah dan masyarakat setempat yang berilmu dan mengamalkan teknologi kelestarian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainudin Mohamad berkata pihaknya terlibat secara langsung dalam Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 yang dibangunkan dengan tujuan mencapai misi menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Neutral Karbon pada tahun 2050.
“Kita sebagai guru di Kuala Lumpur perlu bersama-sama berganding bahu dalam mencapai misi Kuala Lumpur sebagai Bandar Neutral Karbon 2050.
“Ia juga seiring dengan Agenda 2030 iaitu peranan pendidikan sangat penting untuk membawa matlamat SDG kepada generasi akan datang di samping bagi memastikan warga sekolah memenuhi keperluan global,” katanya dalam ucapan penutup Taklimat Amalan Rendah Karbon pada Selasa.
Ujarnya, kejayaan pencapaian Matlamat SDG juga amat bergantung kepada aktiviti Pendidikan untuk Pembangunan Lestari atau Education for Sustainable Development (ESD).
“Dalam konteks ini, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bersama-sama memberi komitmen dalam menjadikan Malaysia khususnya Kuala Lumpur lebih hijau dan lestari,” katanya. – WILAYAHKU