Selebriti

Tingkat kesedaran pendidikan

- Diterbit 7 Jun 2024 5:00 PM MYT

PELAKON jelita Mas Anizan berpendapat pendidikan tentang isu penderaan kanak-kanak perlu mendapat sokongan banyak pihak agar kesedaran hal ini sentiasa meningkat.

“Anak adalah anugerah dan amanah Tuhan kepada mereka yang telah mendirikan rumah tangga. Tanggungjawab untuk membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang perlu dilaksanakan oleh ibu dan bapa.

“Namun apabila sering berlaku kes penderaan terhadap kanak-kanak, sudah tentu ia sesuatu yang sangat menyedihkan. Anak-anak sepatutnya dilindungi, bukan didera sesuka hati,” katanya.

Menurut Mas Anizan, banyak cara untuk mencegah isu tersebut daripada terus berleluasa.

“Antaranya adalah memberikan pendidikan tentang penderaan kanak-kanak kepada orang ramai. Seperti kita sedia maklum, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada semasa mereka bersama keluarga, di pusat jagaan atau di sekolah.

“Jadi untuk mencegahnya maka pendidikan melalui media cetak dan juga media sosial adalah mustahak dan perlu diberi perhatian yang serius.

“Sebagai contoh, pesanan khidmat masyarakat di ruangan iklan siaran televisyen oleh animasi terkenal yang memberitahu kanak-kanak apa itu penderaan dan bagaimana cara untuk membuat aduan,” ujarnya.

Tambahnya, bantuan selebriti atau pempengaruh untuk bercakap soal ini juga diperlukan kerana penderaan terhadap kanak-kanak tidak pernah berhenti.

“Kaedah ini sedikit sebanyak dapat mencapai golongan yang berisiko seperti kanak-kanak untuk mengetahui bahawa mereka sebenarnya didera dan boleh meminta pertolongan.

“Pendek kata, memberi pendidikan tentang penderaan kepada kanak-kanak dapat membendung penderaan daripada berlaku kepada mereka,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas