PENDUDUK Labuan perlu berterima kasih kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha keras dalam meningkatkan pembangunan dan ekonomi di pulau bebas cukai ini.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Simsudin Sidek berkata komitmen kerajaan itu dapat dilihat melalui pelbagai usaha terutamanya peruntukan sebanyak RM 22 juta untuk menaik taraf Terminal Feri Ro-Ro bagi mengatasi kesesakan yang sebelum ini terpaksa dihadapi orang ramai ketika musim perayaan.
“Dengan peruntukan ini jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Datu Seri Anwar Ibrahim mengambil peduli apa jua isu masalah yang dihadapi rakyat.
“Pada lawatan kerja rasmi pertama beliau tahun lalu, sebanyak RM 300 juta telah diluluskan untuk mengatasi isu bekalan air. Selepas itu, aduan gangguan telah berkurangan sebanyak 36 peratus seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Kata Simsudin, pihaknya turut berterima kasih kepada Zaliha atas usaha keras beliau dalam mengangkat semula pembangunan dan ekonomi Labuan seperti yang dilihat hari ini.
“Dengan pelbagai pelaksanaan termasuk mewujudkan tiga pasukan khas yang telah diumumkan sebelum ini, ia dilihat mampu memacu semula pembangunan sekali gus meningkatkan ekonomi pulau ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Simsudin berkata beliau enggan menolak kemungkinan ada segelintir pihak yang masih tidak menghargai usaha yang dilaksanakan kerajaan.
Jelas beliau, Labuan sememangnya menghadapi pelbagai isu yang perlu diselesaikan namun ia memerlukan masa dan kajian teknikal secara terperinci sebelum ia dimuktamadkan.
“Antara isu yang sering dibangkitkan adalah pembinaan jambatan Labuan – Sabah. Saya tidak menolak kepentingan itu
dan amat bersetuju jika pembinaannya dilaksanakan.
“Namun janganlah kita menolak inisiatif jangka masa pendek disebabkan isu tersebut,” katanya. – WILAYAHKU