KESEJAHTERAAN rakyat di Wilayah Persekutuan khususnya Labuan menjadi fokus utama Kerajaan Persekutuan dalam usaha memacu semula perkembangan ekonomi, pelancongan dan pembangunan di pulau itu.
Bercakap mengenai perkara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyifatkan perkembangan semasa itu dapat dilihat menerusi penubuhan tiga pasukan khas yang berperanan dalam memastikan pelan dan matlamat yang digariskan dapat dilaksanakan.
Tiga pasukan khas yang ditubuhkan antaranya ialah pembinaan jambatan Labuan – Sabah, Pelancongan dan aktiviti pemindahan kapal ke kapal.
“Tiga pasukan khas ditubuhkan supaya ia dapat membantu bukan sahaja kepada ekonomi malah akan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pada akhirnya tindakan untuk mencerdaskan sektor ekonomi yang kita laksanakan dapat memberikan limpahan kepada rakyat yang merupakan tunjang utama sekali gus menjadi fokus utama kerajaan hari ini,” katanya pada sesi temubual eksklusif bersama YB di LabuanFM, baru-baru ini.
Tambah Zaliha, ia tidak akan berguna sekiranya ekonomi berjaya ditingkatkan namun rakyat tidak dapat menikmati limpahan kekayaan yang sewajarnya.
Dalam pada itu, Zaliha turut memaklumkan aduan mengenai gangguan bekalan air di Labuan mencatatkan penurunan sebanyak 36 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Jelasnya, walau bagaimanapun kes aduan mengenai bekalan itu telah menurun namun kerja-kerja penambahbaikan secara berterusan perlu dilaksanakan untuk memastikan penduduk di pulau itu mendapat menikmati kemudahan asas dengan lebih baik.
“Sebagai langkah jangka pendek pada suku tahun pertama 2024, pihak kerajaan telah menyalurkan sebanyak 1,000 biji tangki air kepada penduduk yang terjejas bekalan air,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zaliha berkata sebanyak dua ladang solar di Tanjung Kubong dengan kapasiti lima megawatt dan Kampung Bukit Kalam (10 megawattt) telah siap sepenuhnya di Labuan bagi meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di pulau itu.
“Berdasarkan tinjauan dalam tempoh empat bulan lepas terdapat pengurangan gangguan bekalan air sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Untuk penyelesaian isu bekalan elektrik, Perdana Menteri telah mengumumkan pembinaan loji janakuasa baharu bagi mengantikan loji sedia ada di Patau-Patau dengan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 100 hingga 130 megawatt.
“Secara puratanya, Labuan memerlukan kapasiti elektrik sebanyak 55 hingga 80 megawatt sehari,” katanya. – WILAYAHKU