Berita

Larangan penutupan lorong bagi kerja selenggara bermula 12 Jun

- Diterbit 7 Jun 2024 11:44 AM MYT

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengeluarkan arahan larangan penutupan lorong bagi kerja penyelenggaraan jalan bermula 12 hingga 19 Jun ini bersempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta berkata, hanya kerja kecemasan sahaja dibenarkan dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.

“Arahan yang dikeluarkan LLM itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kesesakan lebuh raya ketika hujung minggu dan musim perayaan serta cuti umum panjang.

“KKR mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya tiap kali tiba musim perayaan atau cuti sekolah. Semoga usaha ini dapat memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya di sini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Jalan Susur Bertingkat sepanjang 300 meter dari Jalan P15H ke Persiaran Timur hari ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Nanta dan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Terdahulu, projek meliputi pembinaan sistem perparitan, pemuliharaan alam sekitar dan naik taraf lampu isyarat di persimpangan P15H itu dimulakan pada 29 Disember 2020 sebelum terjejas akibat pandemik COVID-19 dan berjaya disiapkan 15 Mei lepas.

“Pelaksanaan projek ini adalah hasil kajian dan solusi bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama Presint 15 (bulatan lima persimpangan) terutama pada waktu puncak selain menyediakan laluan alternatif bagi penduduk Presint 15 yang berjumlah hampir 35,000 ribu orang dan penduduk di kawasan sekitarnya ke pejabat-pejabat kerajaan Putrajaya (Core Island).

“Antara cabaran utama dihadapi sewaktu menyiapkan projek yang menelan perbelanjaan sebanyak RM12.629 juta itu adalah disebabkan penularan COVID-19 dan lokasi tapak projek yang terletak di sepanjang jajaran koridor utiliti utama di Persiaran Timur, Putrajaya yang mana secara tidak langsung memberi kesan kepada tempoh penyiapan projek.

“Justeru, KKR ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama kepada JKR Malaysia yang membolehkan projek ini disiapkan dengan jayanya,” ujar beliau.

Selain arahan larangan penutupan lorong, Nanta berkata pihak konsesi turut mengaktifkan pelaksanaan smartlane (kebenaran penggunaan bahu jalan) di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik lebih lancar.

“Advokasi kepada pengguna mengenai smartlane dan keberkesanan tindakan penambahbaikan yang dilaksanakan akan dipantau oleh LLM.

“Dalam masa sama, LLM turut menggalakkan pengguna untuk membuat perancangan perjalanan melalui nasihat waktu perjalanan (travel time advisory) bagi mengelak tumpuan perjalanan serentak pengguna melalui aplikasi digital iaitu MyPLUS-TTA untuk pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Syarikat konsesi akan membuka lebih banyak lorong transaksi serta pelaksanaan kutipan tol secara berlapis (MTL – multiple transactional lane) di plaza tol. Kerja penambahbaikan di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur Karak sudah disiapkan pada April lalu,” ujarnya.

Di samping itu, beliau berkata pihak syarikat konsesi akan memperluaskan perlaksanaan sistem kutipan tol secara terbuka (SPT) di semua lebuh raya yang menggunakan sistem tol terbuka.

Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (TMC, LLM) akan beroperasi selama 24 jam semasa musim perayaan nanti dan pengguna boleh menghubungi TMC LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik di sepanjang lebuh raya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas