Berita

“Ada rasa kesal dalam diri saya”… Afdlin harap ibu bapa memanfaatkan novel Papadom

- Diterbit 3 Jun 2024 11:00 AM MYT

 

PENGARAH dan penerbit filem, Datuk Afdlin Shauki melancarkan novel yang diadaptasi daripada filem arahannya itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun baru-baru ini.

Afdlin berkata, Papadom menjadi pilihan pertama kerana kisah itu mempunyai nilai sentimental dan amat peribadi.

“Cerita Papadom ini saya tulis kerana sebagai seorang ayah, ada rasa kesal dalam diri saya kerana tidak dapat menjadi ayah yang terbaik dan mula berfikir mengenai ciri-ciri ayah yang terbaik yang saya mahukan.

“Saadom melambangkan kebanyakan bapa di dunia ini yang mempunyai dilema yang sama.

“Bapa yang menyayangi keluarganya dan mahu memberikan kehidupan terbaik kepada keluarganya, jadi dia bekerja keras untuk keluarganya sehingga tak dapat meluangkan masa bersama keluarga yang dicintai itu.

“Tiadanya keseimbangan dalam kehidupan adalah antara sebab utama permasalahan dalam keluarga. Selalunya manusia berubah bila ada satu insiden besar yang menyentap kehidupan mereka.

“Sewaktu bermain scrabble dengan isteri, saya merenung wajahnya dan bertanya pada diri ini, kalau sesuatu berlaku pada dirinya, apakah saya mampu untuk mengambil alih tugas sebagai ibu kepada anak-anak?

“Persoalan itulah yang mencetus idea untuk saya hasilkan naskhah PAPADOM. Sebagai ibu bapa, kita tak dilahirkan dengan buku manual bagaimana nak menjadi ibu bapa yang baik, akan tetapi, kita kena percaya yang Allah SWT akan sentiasa ada bersama dengan kita dan memberi pengajaran yang terbaik bagi diri kita,” katanya.

Menurutnya, novel setebal 160 muka surat itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua ibu bapa.

“Kita mesti berani melangkah masuk ke alam Papadom dan hadapi segala dugaan dan cabaran-Nya. Semoga buku ini memberi manfaat kepada golongan bapa, ibu untuk mengenali perangai bapa-bapa dan untuk anak-anak, agar mereka tahu yang walau apapun berlaku mereka adalah permata yg yang ternilai di hati bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, berkata trilogi filem itu akan menemui peminat dengan judul Mamadom yang dijadualkan memulakan penggambaran tahun depan.

“Mamadom akan memperlihatkan transisi anak kepada Saadom pula sudah menjadi ibu dan mempunyai anak serta berdepan dengan kisah kehidupannya pula.

“Saya juga berharap agar dapat mengekalkan pelakon yang sama namun semua akan dimuktamadkan kemudian,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas