BARU-BARU ini kecoh apabila terdapat sebahagian pempengaruh media sosial dari Indonesia yang memburuk-burukkan nama Malaysia kepada pihak luar.
Penyanyi terkenal dari negara seberang, Datuk Seri Rossa agak terkilan dengan situasi tersebut kerana ia boleh mengganggu hubungan harmoni yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Menurut Rossa, dalam dunia media sosial hari ini, ramai yang tidak mementingkan soal pendidikan serta hilang rasa hormat terhadap orang lain.
“Itu selalu ada ya. Ada saja yang terlebih (komen-komen negatif). Kalau ada hal seperti itu yang boleh mengganggu emosi, block saja atau buat report. Ini kerana ia boleh mengganggu persahabatan dan kenyamanan kita semua.
“Jangan sampai komen-komen yang tidak baik itu akan mempengaruhi persahabatan yang telah terjalin antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Dalam masa yang sama, Rossa juga berharap agar pengguna media sosial menyekat akaun mereka yang gemar mengamalkan buli siber.
“Apabila mereka menyentuh hal-hal yang tidak baik, kita sebagai pengguna media sosial jangan ragu-ragu untuk unfollow mereka.
“Hargailah persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia. Ramai rakan-rakan saya yang datang ke Malaysia untuk menikmati makanan dan pengalaman yang cukup berbeza dari Indonesia,” ujarnya.
Rossa ditemui pada sidang media konsert Divas & Diamonds 2024 anjuran Syarikat Mega Eve Sdn Bhd yang akan menggabungkannya bersama Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah pada 7 September ini di Arena Larkin, Johor Bahru. – WILAYAHKU