KECOH dakwaan bekas wartawan veteren bukan Melayu baru-baru ini yang melabelkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai akademi apartheid. Penggunaan istilah tersebut telah mencetuskan polemik menggugat sensitiviti terutama warga UiTM dan orang Melayu Bumiputera.
Namun begitu, menggunakan isu itu untuk menembak UiTM secara semberono jelas bermotifkan sesuatu. Ia seolah-olah sengaja mahu membangkitkan sentimen 3R (agama, kaum dan Raja) serta mencabar Perlembagaan.
Isu mempersoalkan status UiTM ini bukan sekali dua dibangkitkan, malah sudah acap kali diperjelaskan. Namun, masih ada yang buat-buat tidak faham dan sengaja mempolemikkannya.
Membalas kepada isu atau dakwaan ini, UiTM menyelar fahaman mereka yang mendakwa universiti itu sebagai akademi apartheid malah menyifatkan individu itu tidak memahami sejarah UiTM.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata sejak negara mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan Malaysia semakin mencapah.
Ini jelasnya dapat dilihat apabila kerajaan membenarkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 termasuklah Akta UiTM atau Akta 173.
“Saya boleh katakan peluang pendidikan hari ini lebih daripada apa yang masyarakat memerlukan, peluang pendidikan itu sangat luas jadi tak timbul orang yang dinafikan haknya.
“Tidak timbul label (menggelar UiTM akademi apartheid) tapi kalau orang (itu) mencari kesalahan dan kepincangan mana-mana sistem maka mereka akan berkata atas kefahaman (diri).
“Jadi sebelum kita berkata-kata, pastikan kita faham dan mencari maklumat sebenar,” katanya selepas ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja Teknologi dan Media Sosial Dalam Membentuk Minda Madani sempena Konvensyen Madani Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
Selain itu, isu mengaitkan UiTM dengan amalan sistem apartheid yang membawa maksud sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum, adalah tuduhan berniat jahat.
Sistem Apartheid adalah suatu dasar segregasi kaum yang zalim sehingga memuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan.
Mengulas lanjut, Shahrin berkata UiTM amat jelas dengan fungsinya dalam konteks kerjasama di semua peringkat sehingga ke pelbagai syarikat multinasional dalam dan luar negara.
“UiTM langsung tidak mendidik dari segi kefahaman pensyarahnya mahupun anak didiknya (mengenai diskriminasi) jauh sekali, tidak langsung tergambar,” katanya. – WILAYAHKU