SISWAZAH program Cambridge A Level di Methodist College Kuala Lumpur (MCKL), V. Thamini melakar kejayaan bersejarah apabila muncul sebagai alumni pertama MCKL yang diterima masuk ke Harvard College, Amerika Syarikat dan Universiti Oxford, United Kingdom.
MCKL dalam satu kenyataan memaklumkan perjalanan luar biasa pelajar ini menjadi bukti kepada daya tahan, dedikasi dan kuasa transformasi pendidikan.
Thamini, 19, anak kelahiran Selangor itu bakal melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Harvard College dengan pengkhususan dalam bidang Ekonomi.
Perjalanan Thamini dari MCKL ke Harvard College melambangkan komitmen MCKL terhadap kecemerlangan akademik dan memupuk kepemimpinan global.
Ini juga menjadi lambang pencapaian luar biasa bagi MCKL kerana pelajar ini menjadi alumni pertama yang diterima masuk ke kedua-dua institusi Liga Ivy itu untuk mengikuti pengajian dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi.
“Daripada prestasi cemerlangnya sebagai Cambridge A Level Outstanding Scholar kepada pengalaman luas melalui latihan amali, kisah Thamini memperlihatkan kuasa transformasi pendidikan serta peluang tanpa had menanti mereka yang berani mengejar impian menggunung dan sanggup bekerja keras,” menurut MCKL.
Semasa di MCKL, Thamini berkata beliau pernah berkhidmat sebagai presiden Kesatuan Pelajar A Level dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.
Beliau juga pernah menjadi jurulatih debat untuk MUN dan Persatuan Debat serta menganjurkan acara seperti ‘So You Think You Can Debate?’ dan menjalankan penyelidikan untuk Kelab Ekonomi.
Mengimbau detik ketika berkhidmat dalam kesatuan pelajar, Thamini berkata di sebalik kesibukan namun ia memberi banyak manfaat, memperoleh pengajaran yang berharga dalam pengurusan projek selain memupuk nilai persahabatan yang berkekalan.
“Mengharungi cabaran akademik di MCKL ia menuntut pengurusan masa dan disiplin yang tinggi. Mampu mengimbangi beban kursus yang mencabar, terutamanya dalam Matematik di samping penulisan esei dan komitmen aktiviti luar kurikulum, keutamaan serta memerlukan perancangan yang strategik,” katanya.
Thamini berkata MCKL memainkan peranan penting dalam menyediakan beliau untuk melalui proses permohonan yang ketat ke Harvard College. Bermula daripada persediaan ujian kemasukan sehingga ke penulisan esei dan penyerahan dokumen, kolej menyediakan persekitaran yang baik untuk membentuk peribadi dan perkembangan akademik.
“Pensyarah saya sangat membantu dan menyokong permohonan saya. Kaunselor universiti saya banyak membantu saya mendaftar untuk ujian kemasukan, persediaan esei dan menyusun serta menyerahkan pelbagai dokumen untuk transkrip saya,” katanya.
Thamini merakamkan penghargaan kepada pensyarahnya atas sokongan dan kata-kata semangat yang tidak berbelah bahagi selain turut berterima kasih kepada penasihat kesatuan dan hal ehwal pelajar kerana sentiasa membantunya.
Nasihatnya kepada junior adalah untuk menjadikan cabaran sebagai peluang untuk memajukan diri dan sentiasa tabah serta bekerja keras.
Ketua MCKL Cambridge A Level, R. Shalini, mengucapkan tahniah kepada Thamini sambil menyatakan pelajar ini akan sentiasa menjadi penuntut yang cemerlang.
Beliau berkata diterima masuk ke Harvard dan Oxford mencerminkan dedikasi Thamini untuk merebut setiap peluang yang disediakan oleh MCKL, daripada mendapatkan bimbingan pensyarah sehingga aktif menyertai pelbagai aktiviti luar kurikulum serta pertandingan.
“Dengan semangat berkobar-kobar, bijak dan asas moral yang kukuh, Thamini bakal melakar lebih banyak kejayaan. Kami mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya. – BERNAMA