Berita

JWP, PPj peruntuk RM289,500 bantuan tunai bakal jemaah haji

- Diterbit 20 Mei 2024 5:25 PM MYT

SERAMAI 579 warga Putrajaya yang bakal menunaikan ibadah fardu haji pada tahun ini menerima sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata ia merupakan sebahagian daripada program sumbangan melalui inisiatif Ihsan @ PUJI bagi menyantuni warga Wilayah Persekutuan yang telah dijemput sebagai Duyufurrahman.

“Jumlah keseluruhan sumbangan di Putrajaya sahaja sebanyak RM289,500. Senarai penerima adalah berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Lembaga Tabung Haji.

“Penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji ini bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan bagi penyediaan kelengkapan ke tanah suci.

“Selain itu, ia diharap dapat memupuk nilai kash sayang dan keprihatinan melalui perkongsian rezeki sekali gus memberikan keceriaan kepada bakal jemaah haji,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Haji Muasassah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024/1445H bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada hari ini.

Tambah beliau pelaksanaan program tersebut juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan jalinan ukhuwah yang kukuh di antara pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, Zaliha turut mengingatkan bakal jemaah untuk sentiasa dalam keadaan sihat dan bertenaga.

“Sepanjang musim haji, para jemaah akan melakukan pelbagai aktiviti seperti tawaf, sa’ie, melontar jamrah dan berulang-alik ke masjid. Aktiviti ini memerlukan para jemaah mempunyai stamina yang tinggi.

“Sebelum berangkat ke Tanah Suci, saya menasihatkan agar bakal jemaah menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh termasuklah memastikan vaksinasi yang diperlukan telah lengkap dan mengikuti nasihat doktor mengenai penjagaan kesihatan.

“Bakal jemaah juga perlulah mematuhi panduan kesihatan yang disarankan oleh pihak berkuasa kesihatan dan Tabung Haji termasuklah mengamalkan pemakanan yang seimbang, minum air yang mencukupi untuk kekal terhidrat, dan mengelakkan pendedahan yang terlalu lama kepada cuaca panas.

“Saya berharap agar semua urusan bakal jemaah haji di sana nanti akan dipermudahkan dan dapat menunaikan rukun Islam kelima ini dengan sempurna,” ujar beliau.

Terdahulu, program yang julung kali diadakan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) memperuntukkan secara keseluruhan sebanyak RM 1.102 juta kepada 2,204 bakal jemaah haji muasassah di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas