Berita

KEBAL juara Anugerah Perdana Belia Negara 2024

- Diterbit 20 Mei 2024 2:25 PM MYT

KELAB Belia Anak Layangan (KEBAL) berjaya dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pertubuhan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) sempena Sambutan Hari Belia Negara 2024 peringkat Labuan.

Persatuan tersebut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, sijil pemghargaan dan piala iringan yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, KEBAL bakal mewakili Labuan bagi peringkat Kebangsaan.

Manakala bagi tempat dua dimenangi oleh Kelab Belia Lubok Temiang (KBLT) dan tempat ketiga disandang oleh Persatuan Gabungan Belia dan Beliawanis Kampung Pohon Batu (GABPOBA).

Kedua-dua pertubuhan itu masing-masing menerima hadiah wang tunai sejumlah RM5,000 dan RM3,000 berserta piala dan sijil.

Sementara itu, bagi Johan Kategori Individu Wanita disandang oleh Aina Aiza Rosli yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL)

Manakala johan bagi kategori Individu Lelaki dimenangi oleh Ahmad Awang Sofien yang kini berkhidmat dalam sektor kerajaan Negeri Sabah.

Kedua-dua mereka menerima hadiah berupa wang tunai sejumlah RM3,000 beserta sijil dan piala iringan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan Mahanum Fauzi dan Presiden Majlis Belia Labuan (MBL) Nazera Roslan. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas