KEMUNCULAN perkhidmatan prebet sapu atau bas haram menimbulkan kemarahan dan kegusaran pengusaha bas tempatan kerana mendatangkan risiko kepada pendapatan mereka.
Meskipun bukan perkara baharu, Persatuan Pemilik Bas Labuan seringkali menyuarakan masalah berkenaan berikutan tindakan tersebut telah menjejaskan pendapatan selain perkhidmatan tersebut tidak dilindungi insurans.
Ramai dalam kalangan mereka yang menjalankan aktiviti ‘ulat’ itu merupakan warga asing yang tidak memilik sebarang permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan terdapat lebih dari 10 buah van sapu yang aktif beroperasi di kawasan bandar sejak beberapa tahun lagi.
Menurut seorang pengusaha bas, Rahman Madun, 74, pendapatan sebagai seorang pengusaha bas henti-henti ketika ini telah merosot dengan kehadiran perkhidmatan e-hailing dan prebet sapu.
Katanya, dia dan rakan sekerjanya masih mampu bersaing dengan pemandu e-hailing yang semakin ramai disebabkan perkhidmatan tersebut mematuhi undang-undang negara berbanding dengan kegiatan prebet sapu ini.
“Saya telah berkecimpung dalam perkhidmatan ini lebih 20 tahun dan kami di sini tidak menolak kemajuan teknologi dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing biarpun memberikan kesan kepada kami namun ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan seiring dengan peredaran masa yang semakin maju.
“Apa yang saya ingin suarakan adalah kemunculan prebet sapu yang ketika ini semakin banyak dan di Labuan sahaja lebih daripada 10 buah prebet sapu yang aktif ketika ini,” katanya kepada Wilayahku.
Rahman berkata ekoran kemunculan prebet sapu itu, dia dan rakan-rakan pengusaha lain berdepan dengan penyusutan pendapatan mendadak sehingga sukar mendapatkan penumpang.
“Kami hilang hampir 90 peratus pelanggan kerana ‘ulat-ulat’ haram ini. Susah untuk kami cari makan kalau keadaan ini berterusan dan disebabkan kewujudan mereka RM50 pun susah nak dapat. Hari ini saya cuma dapat satu trip sahaja sebanyak RM25.
“Jika perkara ini tidak diberikan perhatian oleh pihak berwajib pastinya perkhidmatan bas yang kami jalankan ini akan hilang,” katanya.
Rakannya Hashim Zakaria, 58, berkata kebanyakan mereka terpaksa membuat pekerjaan tambahan seperti mengambil upah memotong rumput, membuat kraftangan dan pelbagai lagi demi kelangsungan hidup ketika ini.
“Ramai kawan sekerja terpaksa melakukan kerja lain untuk meneruskan kehidupan.
“Jika dahulu pendapatan daripada bas boleh mencecah RM200 sehari keadaan itu telah berubah dan kami tidak boleh hanya mengharapkan hasil tersebut lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Bas Labuan, Asmadi Ahmad menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera bagi mengekang aktiviti berkenaan yang dikhuatiri menyebabkan pengusaha gulung tikar.
Tegas Asmadi, perkhidmatan haram itu dilihat semakin berleluasa biarpun persatuannya telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa namun sehingga kini masih tiada tindakan.
“Mereka ini telah beroperasi sejak dahulu lagi dengan jumlah yang kecil namun semakin ramai.
“Sehingga kini masih belum ada tindakan. Prebet sapu ini agak aktif tidak hanya beroperasi pada musim tertentu bahkan setiap hari membawa penumpang,” katanya
Tambahnya, disebabkan masalah tersebut ramai dalam kalangan pengusaha terpaksa melakukan pekerjaan lain berikutan jumlah pendapatan yang semakin menyusut sekali gus sukar untuk meneruskan kehidupan.
“Dahulu kami ada 120 ahli tetapi kini tinggal 60 sahaja yang masih aktif. Sebagai pengusaha bas dan warga tempatan, kami berharap pihak berkaitan dapat bertindak segera bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya. – WILAYAHKU