SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) komited merealisasikan pemerkasaan aspek integriti dalam industri perkhidmatan air menerusi kerjasama dengan para pemegang lesen.
SPAN berkata sebagai sebuah badan kawal selia, pihaknya mendapati terdapat keperluan untuk mengkaji semula inisiatif-inisiatif sedia ada melalui pelaksanaan Rangka Kerja Integriti dan Anti-Rasuah Bagi Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air dalam memerangi rasuah.
“Dengan penumpuan masa kini terhadap memperkasa aspek Environment, Social and Governance (ESG), semua pihak sewajarnya menilai dan memberi lebih perhatian khususnya terhadap amalan serta pelaksanaan berkaitan dengan elemen tatakelola (governance),” jelas SPAN dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, SPAN memberitahu pihaknya telah menganjurkan satu sesi taklimat dan perkongsian amalan terbaik bersama Anggota Suruhanjaya serta pemegang lesen dan agensi perakuan di Ibu Pejabat SPAN baru-baru ini.
Taklimat tersebut dihadiri oleh Pengerusi SPAN, Charles Santiago bersama Anggota Suruhanjaya, Ketua-Ketua Integriti serta wakil pengurusan Pemegang Lesen dan Agensi Perakuan.
“Taklimat itu diadakan untuk membincangkan arah tuju industri susulan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2029 (NACS) yang baru sahaja dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional 2019–2023 (NACP).
“Selain daripada taklimat oleh Bahagian Integriti dan Pengurusan Risiko SPAN, perkongsian amalan terbaik turut disampaikan oleh dua ketua integriti masing-masing daripada Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Pengurusan Aset Air Berhad selain Ketua Pegawai Eksekutif, The Centre To Combat Corruption and Cronyism (C4), Pushpan Murugiah turut memberikan perkongsian berhubung isu konflik kepentingan,” katanya.
Menurut SPAN, taklimat rangka kerja serta perkongsian amalan terbaik diyakini akan dapat membantu pemegang lesen untuk memantapkan lagi usaha dan inisiatif sedia ada ke arah pemantapan agenda integriti di organisasi masing-masing daripada sebarang potensi ketirisan. – WILAYAHKU