Fokus

Tangani ‘pembunuh senyap’ nelayan Labuan

- Diterbit 17 Mei 2024 11:20 AM MYT

KEDUDUKAN Wilayah Persekutuan Labuan yang strategik dikelilingi laut, kaya dengan ekosistem marin serta industri perikanan yang mampan menarik minat nelayan asing sehingga berani menceroboh perairan negara sekali gus mengancam sumber pendapatan warga tempatan.

Kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang di perairan Labuan memberi cabaran pelbagai khususnya kepada penangkapan ikan berlebihan dan kemerosotan alam sekitar kepada kebimbangan ekonomi dan keselamatan.

Dilihat bermaharaja lela di perairan Labuan, golongan ini berpotensi menjadi ‘pembunuh senyap’ dan dikhuatiri mencederakan nelayan tempatan sekiranya merasakan kedudukan mereka terancam.

Salah satu kebimbangan utama yang muncul daripada perbuatan nelayan asing di Labuan adalah penangkapan ikan yang berlebihan. Malah disebabkan oleh peraturan dan langkah penguatkuasaan yang tidak mencukupi, kapal asing sering terlibat dalam amalan penangkapan ikan yang tidak mampan membawa kepada kehabisan stok ikan.

Selain itu, penangkapan yang berlebihan bukan sahaja mengancam mata pencarian nelayan tempatan tetapi juga mengganggu keseimbangan ekosistem marin.

Kaedah penangkapan ikan secara haram antaranya menggunakan letupan dan penggunaan peralatan pemusnah memburukkan alam sekitar dan dibimbangi menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada terumbu karang dan habitat penting lain.

Bukan itu sahaja, pencerobohan nelayan asing di perairan Labuan juga memberi kesan ekonomi ketara yang berpotensi mengurangkan pendapatan nelayan tempatan dan menjejaskan kestabilan industri perikanan.

Tidak cukup itu mereka juga mampu mengeksploitasi sumber marin dan menyebabkan negara kehilangan potensi hasil daripada yuran pelesenan dan cukai. Kehilangan pendapatan ini seterusnya menghalang usaha untuk melabur dalam pengurusan perikanan mampan dan inisiatif pembangunan komuniti.

Ancaman paling ketara terhadap sempadan maritim negara khususnya Labuan perlu dilihat luar pertimbangan ekonomi dan alam sekitar, kehadiran nelayan asing menimbulkan risiko keselamatan kepada rantau ini.

Aktiviti penangkapan ikan secara haram mungkin dikaitkan dengan amalan haram lain seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, dan jenayah lain. Sempadan maritim di sekitar Labuan menjadikannya terdedah kepada eksploitasi oleh sindiket jenayah. Selain itu, penglibatan kapal asing dalam aktiviti haram menjejaskan kedaulatan undang-undang dan kedaulatan dalam perairan Malaysia, memerlukan langkah penguatkuasaan yang mantap untuk mengekalkan keselamatan maritim.

Tidak dinafikan sama sekali, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) antara agensi penguatkuasa yang terkehadapan melakukan pemantauan dalam menangani ancaman nelayan asing di Labuan. Tidak sekadar APMM, agensi tersebut turut bersama-sama Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan dan beberapa agensi lain berganding bahu menjaga perairan demi kepentingan pemuliharaan sumber kepada nelayan tempatan.

Namun isu berkenaan dilihat rumit dengan pelbagai cabaran dalam penguatkuasaan. Di sebalik usaha yang bersungguh-sungguh, namun ia dilihat terhad, termasuk tenaga kerja dan keupayaan teknologi dalam mengekang keberkesanan rondaan maritim dan usaha pengawasan. Faktor kawasan perairan wilayah yang luas dilihat menyukarkan sedikit pihak berkuasa untuk memantau dan mengawal aktiviti penangkapan ikan secara haram secara menyeluruh.

Dalam usaha untuk menangani ancaman nelayan asing di Labuan dengan berkesan, pihak berkepentingan memerlukan pendekatan yang menyeluruh serta secara koordinasi. Pengukuhan rangka kerja kawal selia dan meningkatkan mekanisme penguatkuasaan adalah penting dan ia melibatkan pelaksanaan hukuman yang lebih ketat untuk aktiviti penangkapan ikan secara haram, meningkatkan rondaan maritim, dan menggunakan teknologi pengawasan termaju seperti sistem radar dan pemantauan satelit.

Inisiatif kerjasama dengan negara jiran untuk berkongsi risikan dan menyelaraskan usaha penguatkuasaan juga perlu untuk memerangi penangkapan ikan haram rentas sempadan dengan lebih berkesan.

Pendekatan diplomatik dengan negara jiran adalah penting dalam usaha menangani faktor asas yang mendorong nelayan asing menceroboh perairan Labuan. Rundingan dua hala dan pelbagai hala boleh memupuk kerjasama dalam memerangi penangkapan ikan secara haram selain menggalakkan keselamatan maritim serantau dan ia berupaya untuk memastikan situasi lebih selamat kepada
nelayan tempatan untuk mencari rezeki. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas