KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa berusaha meningkatkan penyertaan belia dalam gerakan koperasi, kata Timbalan Menterinya Datuk R. Ramanan.
Beliau berkata pelbagai program telah dilaksanakan tahun lepas antaranya Year Entrepreneurs Strive For Success anjuran bersama SKM dan Kementerian Pendidikan, bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan kolej vokasional.
Ramanan berkata program itu juga menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan, sekali gus dapat mengukuhkan peranan koperasi sekolah sebagai institusi keusahawanan koperasi.
“SKM bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), telah menganjurkan Asia Pacific Cooperative Youth Summit pada Julai 2023 di Sabah, melibatkan kumpulan sasaran belia yang diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan gerakan koperasi di negara masing-masing.
“Program ini menyeru golongan belia untuk bersama-sama menggalakkan gaya hidup yang mampan sambil menghayati dan menilai kerjasama dan membentuk perusahaan perniagaan secara koperasi,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu jumlah koperasi di Melaka dan usaha kerajaan menggandakan penyertaan belia dalam koperasi sebagai sumber pendapatan alternatif pada masa ini.
“Sebanyak 487 koperasi telah didaftarkan sehingga Disember 2023 di Melaka dan daripada jumlah itu sebanyak 29 koperasi merupakan koperasi baharu didaftarkan,” katanya.
Ramanan berkata selain itu, SKM turut menganjurkan 368 program pengukuhan, penggalakkan serta pembudayaan koperasi di seluruh negara yang melibatkan pelbagai golongan sasar, termasuk golongan belia.
Sementara itu, beliau berkata sejumlah RM2 juta telah diperuntukkan kepada SKM tahun ini, untuk menggalakkan penyertaan koperasi dalam sektor pelancongan antaranya menerusi aktiviti inap desa. – BERNAMA