Berita

KKM lulus peruntukan lebih RM5 juta

LUKANISMAN (tengah) mendengar taklimat daripada pegawai jabatan kesihatan
- Diterbit 5 Mac 2024 12:16 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan peruntukan lebih RM5 juta untuk menaiktaraf prasarana dan kemudahan kesihatan di Labuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata sebanyak 39 buah projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuklah projek Dewan Serbaguna Jabatan Kesihatan Labuan.

Katanya, sebanyak 12 buah projek termasuklah masing-masing enam projek pembangunan dan enam projek kejuruteraan bakal dibangunkan dengan nilai RM4 juta.

“kita sedang merancang dan kini terdapat juga projek sedang sakit dan didapati ia mengalami sedikit masalah. Perkara ini kita telah rujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya untuk tindakan penilaian bagi pelantikan kontraktor penyelamat.

“Masa ini kita sedang menunggu daripada pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menyemak semula syiling untuk projek pembinaan kuarters Jabatan Kesihatan Labuan dan ia amat penting bagi memastikan warga KKM mempunyai tempat tinggal yang berdekatan dengan fasiliti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Jabatan Kesihatan Labuan, ­­­
baru-baru ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke Labuan menyatakan bahawa pembinaan kuaters Jabatan Kesihatan Labuan bernilai RM24 juta dimulakan sejak tahun 2019 namun ia tergendala susulan pandemik COVID-19 selain turut berhadapan dengan isu kontraktor bermasalah yang gagal menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual.

Menurut Lukanisman, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan pakar perubatan di Hospital Neklues Labuan bagi memenuhi permintaan ekoran jumlah pesakit kronik yang semakin meningkat.

Jelasnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan KKM untuk meningkatkan keupayaan hospital berkenaan di samping membantu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga sekitar.

“Sehingga kini Hospital Nukleus Labuan mempunyai pegawai dan kakitangan perubatan sokongan yang mencukupi, namun kita sedia maklum terdapat pesakit yang menghidap penyakit tertentu dan perlu segera dipindahkan ke hospital di tanah besar Sabah (Kota Kinabalu),” katanya.

Ujar Lukanisman, kementeriannya turut menyedari cabaran yang dihadapi penduduk Labuan ketika melakukan perjalanan ke tanah besar Sabah untuk mendapatkan rawatan perubatan berikutan faktor lokasi yang jauh serta kemudahan pengangkutan yang terhad.

“Memang tidak dapat dinafikan penduduk Labuan yang ingin mendapatkan rawatan ke Tanah Besar Sabah menghadapi masalah yang agak kritikal kerana kos pengangkutan seperti tiket kapal terbang yang mahal dan kesukaran bermusim dalam mendapatkan tiket feri.

“Kita juga akan melihat dasar KKM mengenai cara untuk menangani isu yang membelenggu pesakit di Labuan untuk memperolehi rawatan perubatan yang terbaik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas