LIMA dekad gah di persada, Wilayah Persekutuan bukan sahaja menempatkan pusat pentadbiran negara, bahkan ia wujud sebagai pembina ketamadunan penting yang telah melakar pelbagai sejarah Malaysia.
Dalam usaha menyatukan ketiga-tiga wilayah ini, sudah pasti ia telah melalui pelbagai kesukaran berikutan faktor geografi, namun ia berjaya di atasi.
Labuan yang terpisah melalui Laut China Selatan sebelum ini ‘sunyi’ disebabkan kedudukannya yang terpencil dari radar berjaya disatukan serta berperanan sebagai hab kewangan luar pesisir antarabangsa. Ia telah melonjakkan imejnya sesuai dengan status dan tarafnya sebagai Wilayah Persekutuan.
Keunikan dan kesepaduan ini dilakar dalam pementasan teater bertajuk Wilayahku, Satu Semangat, Satu Matlamat yang bertujuan menyulam semangat kekitaan meskipun dipisahkan lautan yang jaraknya ribuan batu.
Teater ini membawa penonton menerobos masa lalu iaitu pada tahun 2006 apabila Kuala Lumpur dan Labuan disatukan buat pertama kalinya menjadi satu kontinjen mewakili Wilayah Persekutuan sebagai persiapan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-11 yang berlangsung di Kedah.
Kisahnya bermula apabila coach Amirul yang dilakonkan oleh Josiah Hogan dimaklumkan mengenai penyertaan kontinjen Labuan yang sebelum ini berada pada kedudukan tercorot ke dalam kontinjen Wilayah Persekutuan.
Bermula detik itu, pandangan coach Amirul skeptikal terhadap kemampuan coach Sara dilakonkan oleh Hana Nadira yang menyelaras kontinjen Labuan untuk memilih atlet bola keranjang yang bakal diletakkan sebagai pemain utama untuk dipertaruhkan dalam temasya berkenaan.
Tidak sekadar jurulatih Amirul, kapten pasukan bola keranjang Kuala Lumpur, Luqman turut merasa tercabar dan turut kalah dalam perlawanan saringan yang dianjurkan oleh kedua-dua jurulatih itu.
Perbalahan dan perang mulut antara Luqman dan Joe, kapten pasukan bola keranjang Labuan berlanjutan apabila kedua-duanya saling berbalas tumbukan.
Namun dengan kebijaksanaan jurulatih Sara serta keterbukaan jurulatih Amirul dalam memastikan matlamat mereka untuk memenangi SUKMA berhasil apabila berjaya menyatukan kedua-dua pihak sehingga menjadi akrab.
Selain pasukan bola keranjang, penonton turut dihiburkan dengan penampilan Leaism yang melakonkan watak Elsee seorang atlet badminton perseorangan wanita yang bergelut untuk menempatkan dirinya sebagai pemain utama. Namun pada masa sama perlu akur dengan permintaan ibunya.
Disebalik ujian dan cabaran, Elsee turut berperang dengan perasaannya yang sangsi terhadap teman lelakinya, Luqman kerana kehadiran Sabrina.
Dengan kesabaran dan kebijaksanaan kedua-dua jurulatih, mereka berjaya mengenepikan perbezaan untuk menjuarai SUKMA demi kejayaan Wilayah Persekutuan.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi), Datuk Parang Abai @ Thomas; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu, Dr Amir Raslan Abu Bakar. – WILAYAHKU