Berita

Elak daripada taksub – Mohd Na’im

- Diterbit 22 Februari 2024 11:12 AM MYT

SEMUA pihak diseru sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

Tambah Mohd Na’im, sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan oleh akhbar tempatan pada 20 Februari 2024 bertajuk ‘Eksploitasi Nasab Suci Nabi’ serta laporan yang berkaitan.

“Pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam akhbar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Na’im, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.

“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pertauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Terdahuu, media melaporkan PDRM memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ”Mawla Mohamed Amin al-Hassani’, dan mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang dikatakan turut aktif mempromosikan ‘Mawla Amin’, didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas