Berita

Kod Etika Kewartawan tidak kekang kebebasan media -Fahmi

- Diterbit 20 Februari 2024 2:53 PM MYT

KOD Etika Kewartawanan yang dilancarkan hari ini tidak bertujuan mengekang kebebasan media sebaliknya untuk meningkatkan kemahiran wartawan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kod etika media itu telah wujud sejak tahun 1989 dan dalam versi baharu yang dilancarkan ini mengandungi beberapa penambah baikkan.

“Kod etika ini telah wujud sejak tahun 1989 dan ia merupakan garis panduan untuk wartawan melaksanakan tugas.

“Ia telah dimurnikan dengan penglibatan wakil wartawan serta organisasi media dan mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu dan mengongkong ataupun menyekat kebebasan dalam membuat pelaporan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Muhamad Fauzi Md. Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Mustapa Omar.

Menurut Fahmi tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuat atau menerbitkan kenyataan yang tidak benar.

“Dalam konteks ini , undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam,” katanya.

Kod Etika Kewartawan yang dilancarkan hari ini mengandungi lapan perkara iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dialog; wartawan hendaklah telus bertintegriti ketika menjalankan tugas; wartawan digalakkan berusaha secara konsisten untuk adil dalam menyampaikan informasi.

Selain itu pemberitaan tidak boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi; kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak; wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber; wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas