Berita

28 program istimewa sempena sambutan 50 tahun JAWI

- Diterbit 29 Januari 2024 5:29 PM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bakal menyambut Jubli Emas tahun ini telah merancang lebih 28 program bermanfaat untuk orang ramai sepanjang tahun ini.

JAWI dalam satu kenyataan memaklumkan, Wilayah Persekutuan Berselawat merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan tersebut yang akan diadakan pada 31 Januari 2024 (Rabu) di Dewan Solat Utama, Masjid Wilayah Persekutuan.

“Sesi Tausiyah pada majlis berkenaan akan disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin dan turut diadakan Doa Untuk Malaysia serta bacaan selawat dan qasidah yang menampilkan kumpulan nasyid Inteam dan Almawlid yang menyasarkan kehadiran 3,000 orang peserta dalam kalangan penduduk sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya hari ini.

Menurut JAWI, acara berikutnya disusuli dengan Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam pada 1 Februari 2024 (Khamis) bertajuk “Budi Sematang Usia” yang menampilkan pendakwah terkenal tanah air seperti Profesor Madya Datuk
Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Imam Muda Asyraf.

“Selain itu, dalam sambutan tersebut, turut diadakan pelancaran Surau Bergerak; Majlis Akad Nikah Rahmah; Seminar Keluarga Bahagia; Aktiviti Menyantuni & Penerangan Berunsur Nasihat (AMPUN); Iftar MADANI Jamaie, Qiamullail Perdana (Nuzul Al-Quran) dan Aidilfitri Malaysia Madani@Dataran Merdeka,

“Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun JAWI turut diadakan selain beberapa acara lain termasuklah Perasmian ‘Ilaj Home; Pelancaran Persempadanan Kariah Masjid; Khutbah Jumaat Khas, Kem Ibadah Perdana OKU Penglihatan & Pendengaran, Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Khas; Hari Bertemu Pelanggan JAWI; Seminar Keluarga Sakinah MADANI; Jelajah Institut Pendidikan Islam JAWI Labuan, Malam Kesenian Islam; Liga Festival Nasyid Institut Pendidikan Islam JAWI; Simposium Kursus Pengurusan Jenazah Perdana; Konvensyen Akidah Wilayah Persekutuan; Pelancaran Ikon Mualaf; Perasmian Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Labuan; Penerbitan Buku 50 Tahun JAWI; Pelancaran Penarafan Tandas Masjid lima Bintang; Pelancaran Akademi Al-Quran dan JAWI Fun Run,” kata kenyataan itu.

Menurut JAWI, sempena sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024, JAWI memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan yang bermaksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah.

“Khaira Ummah” hanya dapat dilahirkan apabila gerak kerja dakwah iaitu amar makruf dan nahi mungkar diimplementasikan dalam masyarakat serta Islam menjadi “way of life”.

“Dalam konteks tersebut, azam dan tekad JAWI adalah untuk memperluas fungsi dan peranan selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan. Perkara utama yang akan diberikan perhatian ialah proses pengukuhan syariah dan akhlak serta pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas