TOURISM Malaysia sekali lagi menyertai Pameran Pelancongan MATKA tahun ini untuk menonjolkan usaha Malaysia dalam memperkasakan industri pelancongan tempatan di mata dunia.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia (Amerika, Eropah & Oceania), Azimah Aziz, pameran yang diadakan di Messukeskus, Helsinki dari 18 hingga 21 Januari itu dijangka memberikan peluang tambahan untuk mempamerkan tarikan pelancongan Malaysia yang sejajar dengan keutamaan pelancong Nordik.
“Pameran istimewa tahun ini membolehkan dunia menyaksikan keajaiban alam semula jadi Malaysia yang menakjubkan, warisan budaya pelbagai etnik, pelancongan berasaskan komuniti yang lestari dan hidangan kulinari yang menjanjikan perjalanan pengalaman yang luar biasa.
“Antara produk dan pakej baru yang ditampilkan termasuk Pakej Hijau Geopark Langkawi, Pakej Arkeopelancongan dan Geopelancongan Malaysia, Pakej Ekopelancongan Perlis, Taman Negara Endau Rompin, Geopark Global UNESCO Kinabalu dan Geopark Nasional Delta Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Azizah memaklumkan satu kumpulan budaya khas yang dibawa oleh Lembaga Pelancongan Sarawak akan membuat persembahan dua kali sehari, mempamerkan tarian tradisional Sarawak serta alat muzik tempatan seperti sape (alat muzik bertali) dan seruling hidung.
Dalam masa sama, demo memasak dan sampel makanan juga akan diadakan untuk memperkenalkan juadah Malaysia kepada pengunjung.
“Tourism Malaysia amat optimistik dengan penyertaan tahun ini kerana MATKA menawarkan peluang utama untuk memperkenalkan tarikan pelancongan Malaysia yang sejajar dengan minat pengembara luar negara,” katanya. – WILAYAHKU