MASYARAKAT Labuan diingatkan agar tidak menunggu saat akhir untuk mendaftar diri dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari.
Menurut Ketua Pejabat Operasi Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Labuan, Shaliza Mohd Hasli@Bob, warga Labuan yang berumur 18 tahun ke atas diseru untuk segera mendaftarkan maklumat ke dalam sistem PADU yang dibuka sehingga 31 Mac ini.
“Dua kaunter fizikal PADU ditempatkan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Lubok Temiang dan PEDi Kampung Sungai Labu selain kaunter fizikal Pejabat DOSM Labuan yang beroperasi dari Isnin hingga Sabtu mulai pukul 9.30 pagi sehingga 5 petang.
“Pendaftaran PADU di Labuan juga masih di peringkat awal dan jumlah individu yang mendaftar sangat menggalakkan namun kita memohon orang ramai untuk tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, S Roslee Matusin berkata sistem yang dibangunkan memudahkan kerajaan menyalurkan sebarang bantuan dan inisiatif kepada rakyat terutamanya dalam pengagihan subsidi atau bantuan secara bersasar.
“Saya berharap masyarakat mengambil peluang untuk mendaftarkan diri ke dalam sistem PADU lebih awal bagi mengelakkan tercicir daripada sebarang bantuan kerajaan,” jelasnya. – WILAYAHKU