PENYANYI popular Baby Shima,26, antara artis yang sering menjadi ‘mangsa’ netizen dalam media sosial.
Apa jua yang Shima lakukan, ada saja yang tidak kena dan dikecam bertubi-tubi, baik ketika membuat persembahan atau apa-apa status.
Kadang-kadang pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli ini hanya melibatkan pandangan peribadi dan ada kebenarannya, namun tetap dikecam.
“Dari dulu saya tak pernah down pun kalau orang kecam sebab saya anggap orang yang suka mengecam ni adalah orang yang kurang kasih sayang.
“Mungkin juga mereka ni penganggur atau tak ada kerja sebab itulah kerja dia mengecam orang saja. Tak ada kehidupan. Kasihan pula saya rasa.
“Biasalah, kalau dah kurang kasih sayang tu, sanggup mengecam orang sana sini demi mendapat perhatian. Bila dah dapat perhatian, dia buat lagi dan lagi kerana obses untuk terus jadi perhatian.
“Bagi saya, apabila seseorang itu ‘lapar’ perhatian, jadi dia sanggup saja kutuk dan hina orang lain demi meraih tumpuan. Dia paling suka apabila ada pula netizen-netizen lain menyokong. Masa itu dia rasa hebatlah sangat
“Saya pun pelik, apa kepuasan yang dia dapat apabila mengecam dan memalukan orang lain. Bagi dia itu satu kemenangan ke?
“Memang dah tak tahu dosa dan pahala ke? Dosa dengan manusia, kena minta maaf dengan manusia yang dia kecam atau hina tu. Sempat ke nak minta maaf sedangkan kematian itu boleh datang pada bila-bila masa sahaja,” katanya yang sudah lali malah tidak kisah dikecam jika kenyataannya dipertikaikan.
Disebabkan isu kecam mengecam ini seperti tiada berkesudahan, terbaru Shima muncul dengan lagu Kena Kecam Pun Tak Kisah kolaborasinya bersama Ifa Raziah dan Datuk Norman KRU.
“Lagu Kena Kecam Pun Tak Kisah ini mengisahkan tentang keadaan sekarang, ramai yang suka mengecam bukan sahaja kepada artis, malah bergaduh sesama sendiri dalam media sosial.
“Bukankah sepatutnya kita menggunakan media sosial untuk merapatkan silaturrahim sesama kita. Janganlah salah guna hingga setiap hari kita tengok ada saja kecaman.
“Apabila ada yang mengecam, maka timbullah pergaduhan dan ‘perang’ mulut. Maka ia turut mengajak orang lain untuk mengecam sama,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Shima juga menafikan cuba menyindir netizen menerusi lagu ini.
“Bukan sindir, tapi ini lah diri saya. Tak semua netizen suka mengecam, ramai saja yang suka berkongsi kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.
“Menerusi lagu Kena Kecam Pun Tak Kisah ini, saya hanya nak beritahu pada mereka yang suka kecam orang tu, kecamlah saya sepuas-puasnya, sebab saya tak kisah pun.
“Tapi kalau dah sampai tahap memfitnah tu, atau dah melampau sangat, saya pun tak boleh berdiam diri juga. Sudah tentu saya akan ambil tindakan.
“Bagi saya kecam okay lagi, tapi kalau memfitnah ia boleh melibatkan ramai orang bergaduh. Ini sangat bahaya. Saya tahu takkan ada yang sempurna dalam dunia ni, tapi agak-agaklah kalau nak mengata orang pun, janganlah sampai memfitnah,” tambahnya lagi.
Video muzik Kene Kecam Pun Tak Kisah ini boleh ditonton di laman YouTube KRU. -WILAYAHKU