MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyeru semua pihak khususnya agensi Kerajaan merapatkan saf dalam mengkoordinasikan semua projek pembangunan di Labuan.
Beliau berkata, semua pihak perlu bersama-sama merapatkan saf bagi membangunkan pembangunan di pulau itu meskipun dalam keadaan sumber yang terhad.
” Mesyuarat Ketua Jabatan dan Agensi di Labuan ini telah saya maklumkan agar mesyuarat ini dibuat dengan lebih kerap bagi mengkordinasikan dan mempercepatkan kesemua projek-projek pembangunan ini.
” Selain itu, mesyuarat ini turut memberi fokus dan tumpuan kepada pembangunan kampung- kampung nelayan yang menjadi penyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat setempat.
” Secara tuntasnya, mesyuarat ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengenepi Labuan dan mempunyai kesungguhan untuk memastikan aspirasi menjadikan Labuan sebagai hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan dilaksanakan dengan jayanya,”katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan di Wisma Perbadanan Labuan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha memaklumkan antara cadangan projek yang perlu diberikan perhatian adalah cadangan pembinaan Kompleks Darul Ifta di Kampung Kiansam.
” Cadangan pembinaan itu bakal menjadi tunggak kepada keunggulan Islam di Wilayah Persekutuan dengan berkonsepkan penyelidikan, pelancongan dan pendidikan,” jelasnya. – WILAYAHKU.