ANGGOTA Kabinet hari ini berkongsi ucapan selamat menyambut Deepavali kepada penganut agama Hindu menerusi media sosial masing-masing sambil mengingatkan masyarakat agar menjadikan sambutan perayaan pesta cahaya kali ini sebagai peluang untuk mengeratkan lagi perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook berharap perayaan Deepavali kali ini lebih meriah serta dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia, sekali gus mengkuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan agenda Malaysia MADANI.
“Marilah kita bersama terus menyemai rasa cinta dan nilai hormat-menghormati sesama kita. Seperti perayaannya, semoga kehidupan kita sesama rakyat Malaysia terus diberikan sinar untuk negara ini terus makmur bersama,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut berkongsi ucapan Deepavali menerusi Facebook berkata keharmonian hidup bermasyarakat penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia merupakan sesuatu yang unik dan haruslah dijaga sebaik-baiknya sampai bila-bila.
“Gunakanlah kesempatan daripada perayaan seperti ini untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan ikatan perpaduan sesama kita.
“Semoga jalinan ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kekal utuh dan harmoni selamanya. Perpaduan adalah teras dan tunjang kepada Malaysia MADANI,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook beliau mendoakan agar masyarakat Hindu di seluruh negara menyambut perayaan Deepavali tahun ini dengan meriah bersama keluarga tersayang.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching yang turut berkongsi ucapan Deepavali di Facebook beliau mendoakan perayaan pesta cahaya kali ini disambut lebih meriah dan dengan semangat perpaduan serta kasih sayang yang kuat sesama rakyat Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi Facebooknya pula berharap agar Deepavali kali ini membawa sinar cahaya kegembiraan, kesejahteraan dan menyemarakkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan etnik di Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam mesej Deepavali yang dikongsi di Facebook beliau menggesa semua rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan terutamanya semasa perjalanan pulang ke kampung halaman.
“Apabila keluarga berkumpul bersama-sama untuk beraya, marilah kita memastikan bahawa jalan raya adalah laluan kegembiraan, bebas daripada bayang-bayang kemalangan. Semoga Deepavali ini membawa kemesraan, kebahagiaan, dan kemakmuran ke rumah anda. Semoga anda dan orang tersayang dapat meraikan sambutan dengan meriah. Semoga selamat dalam perjalanan dan selamat menyambut Deepavali,” katanya.
Loke berkata sambutan Deepavali membuktikan kepelbagaian budaya Malaysia yang utuh- khazanah yang mentakrifkan identiti nasional kita.
Kepelbagaian perayaan di seluruh negara menggariskan perpaduan dalam perbezaan kita, mempamerkan kekuatan, kita peroleh daripada tradisi dan latar belakang kita yang pelbagai, tambahnya. – BERNAMA