PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 di Riyadh, Arab Saudi, esok.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Katanya, sidang kemuncak itu diadakan bagi membincangkan mengenai serangan, kekejaman dan ketidakberperikemanusiaan rejim Isrel yang berterusan ke atas Palestin.
“Ia akan dihoskan oleh Putera Mahkota yang juga merupakan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman serta turut dihadiri oleh pemimpin serta wakil negara anggota OIC.
“Sidang Kemuncak ini akan didahului dengan dua mesyuarat persediaan iaitu Mesyuarat Persediaan di Peringkat Menteri yang berlangsung hari ini dan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan yang telah diadakan semalam,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sidang kemuncak tersebut merupakan keberhasilan daripada kerjasama utuh Perdana Menteri bersama pemimpin OIC.
“Semasa Sidang Kemuncak ini, Perdana Menteri akan menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai- ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza di mana krisis kemanusiaan masih berlarutan.
“Selain, keperluan utama bagi negara anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin,” katanya sidang kemuncak ini turut dijangka akan menerima pakai satu Dokumen Hasil (Final Communique).
Terdahulu, pada Rabu Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid Al-Falih ketika menghadiri Forum Ekonomi Baharu Bloomberg di Singapura berkata Arab Saudi akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak tergempar OIC itu bagi membincangkan krisis Palestin-Israel
Beliau berkata, semua akan melihat Arab Saudi mengadakan sidang kemuncak Afrika-Saudi di Riyadh, dan dalam beberapa anda akan melihat Arab Saudi mengadakan sidang kemuncak Islam.
Katanya lagi dalam jangka pendek, objektif untuk membawa ketiga-tiga sidang kemuncak ini dan perhimpunan lain di bawah pimpinan Arab Saudi adalah untuk memacu ke arah penyelesaian konflik secara aman. – WILAYAHKU