DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima anugerah penarafan Bandar Pintar 2023.
Anugerah itu diterima DBKL sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 9 November 2023
“Kuala Lumpur menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar – Smart City Early Adopter berdasarkan penilaian indikator dalam MS ISO 37122:2019,” kata DBKL menerusi laman facebook hari ini.
Menurut DBKL, sebanyak 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain turut menerima Penarafan Bandar Pintar ini yang bermula pada 17 Julai sehingga 31 Ogos yang lalu.
“Seterusnya penilaian bagi penarafan telah melalui beberapa jawatankuasa sebelum disahkan dalam Majlis Bandar Pintar Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah Jabatan Pengurusan Maklumat DBKL, Muhamad Azwal Ab Azis mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.- WILAYAHKU