Oleh KHAIRUL IDIN
PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan giat melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di premis perniagaan di pulau tersebut.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Labuan, Amiluddin Malang berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi tumpuan orang awam untuk memastikan bekalan di pasaran mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan.
“Hasil pemeriksaan dan pemantauan tersebut mendapati bekalan ayam mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan serta tidak berlaku pembelian panik.
“KPDN akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan yang tidak munasabah dan memanipulasi harga ayam di peringkat peruncit selain memastikan peniaga mematuhi perundangan di bawah selian KPDN,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambahnya, penguatkuasaan secara berhemah juga akan dilaksanakan bagi memberikan pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang.
“Pemantauan turut dilakukan oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) bagi mendapatkan maklumat berkenaan harga jualan ayam dan ia diteruskan setiap hari,” katanya. – WILAYAHKU