Berita

MRANTI AV XL dapat pacu kemajuan teknologi pengangkutan negara – Chang

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 9 November 2023 10:05 AM MYT

MAKMAL eksperimen seperti Makmal Eksperimen Kenderaan Autonomi MRANTI (AV XL) yang baru dilancarkan, akan dapat memacu negara ke hadapan dalam bidang kemajuan teknologi pengangkutan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau berkata AV XL juga boleh meningkatkan inovasi dan mengubah idea kepada satu impak dunia sebenar dalam teknologi pengangkutan.

Kenderaan autonomi (AV) merujuk kepada mod pengangkutan yang boleh beroperasi tanpa kawalan manusia.

Chang berkata MRANTI AV XL adalah hasil perkongsian dinamik antara MRANTI dan Futurise Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berfungsi sebagai penggerak di sebalik Sekretariat Laluan Ujian Kenderaan Autonomi Malaysia (MyAV) dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Walaupun AV mungkin sesuatu yang menakutkan bagi kebanyakan orang, ia sebenarnya memberikan peluang menarik untuk masa depan mobiliti. Apa yang mungkin tidak disedari oleh sesetengah pihak ialah kita sudah ada AV yang digunakan hari ini, seperti sistem monorel Kuala Lumpur, Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), yang menyaksikan perkhidmatan koc tanpa perlu dikendalikan manusia.

“AV telah digunakan di seluruh dunia, termasuk bas untuk Sukan Olimpik Tokyo, dan hari ini, Teksi Robot sudah ada di jalan-jalan di California, Amerika Syarikat; Shenzhen, China; serta di seluruh Jerman, dan ia diterima orang ramai dengan pantas,” katanya dalam ucapannya sempena pelancaran MRANTI AV XL, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim, ketua pegawai eksekutif (CEO) MRANTI Datuk Dr Rais Hussin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Chang berkata kajian oleh Pusat Mobiliti Masa Depan McKinsey menganggarkan bahawa menjelang 2030, sekurang-kurangnya 12 peratus kereta penumpang baharu akan dijual dengan teknologi autonomi Tahap 3 hingga 5 (tahap autonomi pemanduan) dan 37 peratus akan memiliki teknologi pemanduan autonomi termaju menjelang 2035, mencipta sehingga US$ 400 bilion (bersamaan dengan kira-kira RM1.873 trilion) hasil di peringkat global.

“Melihat kepada angka-angka ini, industri AV pastinya menawarkan prospek menguntungkan dan terus melonjak kepada pelbagai pihak berkepentingan.

“Kesan berganda mungkin dapat dilihat pada industri lain seperti insurans, pembuatan, semikonduktor, elektrik dan elektronik, pembangunan perisian, serta pertanian, logistik, sektor penjagaan kesihatan dan banyak lagi,” katanya.

MRANTI AV XL terdiri daripada laluan ujian bertanda 12 kilometer (km) dan tempat letak kereta bertingkat tertutup, kembar digital untuk ujian maya sebelum penggunaan fizikal, liputan rangkaian 5G dan infrastruktur untuk penghantaran data ultra-pantas.

Chang berkata MRANTI AV XL sepadan dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dalam aspek pengangkutan darat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas