Oleh HAZIRAH HALIM
Foto oleh SYUQQREE DAIN
SENI pembuatan krusye bercorak bunga atau lebih dikenali sebagai flower crochet merupakan antara seni jahitan tangan yang semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Rata-ratanya membuat tempahan bunga krusye ini sebagai barang hiasan, tanda penghargaan mahupun cenderamata kepada seseorang yang istimewa terutama ketika menyambut hari ulang tahun, hari perkahwinan atau meraikan konvokesyen.
Salah satu perniagaan bunga krusye yang semakin dikenali ramai ialah The Kaitz Flower Crochet yang menawarkan pelbagai jenis rekaan bunga yang pastinya menarik dengan harga yang berpatutan.
Berkongsi mengenainya, Nur Ezzaty Elyeany Mohd Yasin, 26, berkata dia mempelajari ilmu mengait bermacam jenis barangan terutama bunga daripada platform Youtube semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021.
“Pada awalnya, saya hanya belajar mengait secara suka-suka sahaja sebab tidak tahu hendak buat apa di rumah ketika PKP, kemudian saya masukkan produk yang telah siap dihasilkan ke dalam sosial media, Instagram, tiba-tiba kawan berminat untuk beli.
“Sejak itu, saya terus cuba membuatnya lagi dan tidak sangka ramai pula yang tempah. Pada ketika itu juga, saya ada berikan ia kepada pempengaruh media sosial, Tun Laila untuk bantu promosikan dan sekali lagi tidak sangka ia mendapat perhatian ramai.
“Disebabkan video promosi tersebut tular, sejak itu saya tidak henti-henti mendapat tempahan terutamanya untuk bunga krusye lebih-lebih lagi ketika musim konvokesyen,” katanya kepada Wilayahku.
Katanya, YouTube adalah rujukan utama untuk mempelajari ilmu dan jenis-jenis rekaan produk krusye yang boleh dihasilkan.
“Saya bukanlah seorang yang pandai mengait. Sebelum terlibat dalam perniagaan ini, hari-hari saya akan praktis mengait dan alhamdulillah sudah banyak produk terhasil dan kini saya boleh cipta rekaan mengikut kehendak pelanggan.
“Saya lebih gemar pelanggan membuat tempahan mengikut cita rasa mereka, misalnya saya akan beri contoh rekaan yang ada tetapi mereka boleh pilih ikut cita rasa sendiri.
“Saya lebih gemar membuat beg tetapi produk yang selalu mendapat permintaan tinggi dan banyak terjual adalah bunga tulip krusye dan bunga konvokesyen. Hampir setiap bulan ada tempahan,” katanya harga bergantung kepada jenis corak dan rekaan yang diminta oleh pelanggan.
Menurut Ezzaty, prinsip yang dipegang olehnya untuk menjalankan perniagaan ini adalah sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan selain menitikberatkan aspek kualiti dan kekemasan pada setiap produk krusye yang dihasilkan.
“Respons yang diterima daripada pelanggan sangat baik, rata-rata berpuas hati dengan cara wrapping dan kait kerana bagi mereka ia kemas, cantik dan teliti,” ujarnya yang turut menawarkan pelbagai barangan krusye seperti beg tangan, rantai kunci, bantal dan lain-lain. – WILAYAHKU