Oleh AZLAN ZAMBRY & SYED HAZIQUE
MENJELANG 365 hari atau menginjak usia setahun Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memberi impak positif terutamanya daripada segi perkembangan ekonomi negara.
Kerajaan Perpaduan terus berusaha memperkukuhkan kompetensi dan kewibawaan dalam mentadbir negara dengan komitmen ampuh membawa angin transformasi positif di segenap elemen kerajaan bagi menggerakkan harapan rakyat melihat Malaysia yang lebih makmur.
Beliau dan pasukannya amat mementingkan agenda rakyat agar tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan. Malah, giat berusaha demi memastikan hasrat dan harapan rakyat dapat dipenuhi meskipun berdepan dengan cabaran kelembapan ekonomi.
Kadar inflasi negara yang telah mencatatkan rekod lebih rendah sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara sejak November tahun lalu adalah salah satu bukti inisiatif pemulihan kerajaan sudah mula menunjukkan trend positif.
Penganalis politik, Ts Nurul Aishah Ab Rahman berpandangan, prestasi inflasi negara yang baik ini kesan campur tangan kerajaan dalam menangani subsidi dan kawalan harga barang-barang keperluan yang disenaraikan dalam Kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP) seperti ayam, beras dan minyak masak antara pendekatan yang telah membuahkan hasil bagi menurunkan kadar inflasi.

“Prestasi Peningkatan aktiviti ekonomi pada suku pertama 2023 turut membantu kepada pengembangan prestasi ekonomi Malaysia juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus (%) lebih baik daripada negara serantau seperti Indonesia (5%) dan China (4.5%) seperti yang dilaporkan Kementerian Kewangan pada Mei 2023.
“Selain itu, usaha bagi merealisasikan penstrukturan semula ekonomi negara ini turut dilihat menerusi inisiatif paling menonjol Kerajaan Perpaduan iaitu di bawah Payung Rahmah yang merangkumi pelbagai bentuk produk dan bantuan daripada makanan hingga pakej-pakej perkhidmatan jalur lebar, kesihatan, malah termasuk pakej pelancongan yang menawarkan harga yang rendah yang mampu dimanfaatkan seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan demografik, kuasa ekonomi dan pekerjaan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Tambahnya, perkembangan ekonomi negara yang baik juga telah menambah keyakinan bagi pelabur-pelabur asing untuk terus menapak di Malaysia.
“Kesemua rantaian ekonomi yang menunjukkan perkembangan baik ini sekali gus telah menambah keyakinan pelabur-pelabur asing, termasuk dua syarikat gergasi seperti Tesla dan Amazon Web Service disifatkan sebagai game changer.
“Ia juga dijangka mampu melonjakkan ekonomi dan daya saing Malaysia dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi di rantau ini dengan jumlah anggaran pelaburan berjumlah RM25.5 bilion bagi tempoh 15 tahun,” ujarnya.
Jelasnya lagi, keterbukaan dan kesediaan Kerajaan Perpaduan untuk mendukung hak dan kebebasan bersuara juga bukan sekadar cakap kosong apabila komitmen itu telah dibuktikan dengan peningkatan kedudukan Malaysia di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF) berbanding di tangga ke-113 pada tahun sebelumnya.
Tambah beliau lagi, di sektor reformasi politik, selain kesepaduan yang dizahirkan di antara rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang utuh dan sikap toleransi yang tinggi antara satu sama lain, di bawah pentadbiran baharu juga diperkenalkan beberapa inisiatif pembaharuan dalam kalangan ahli parlimen.
“Antaranya seperti sesi soal jawab PM dan bersama Menteri diperkenal, laporan audit negara dibahas dan tindakan tegas kepada ahli parlimen sekiranya menyentuh isu-isu 3R yang boleh mencetuskan sentimen ketegangan kaum di negara,” jelasnya yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM. – WILAYAHKU