Berita

Kerajaan tetapkan enam keputusan bagi memastikan SDG lebih berkesan

ANWAR mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara bagi tahun 2023 di Parlimen pada Selasa.
- Diterbit 10 November 2023 12:00 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

BERLATARKAN cabaran dan situasi semasa di ­peringkat global dan tempatan ­seperti kesan pasca pandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, ­krisis inflasi dan ­kemelut ­geopolitik antarabangsa, ­secara ­keseluruhannya, prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia masih ­mencatatkan ­kemajuan yang positif, ­kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antara ­pencapaian negara adalah seperti terkandung didalam SDG 1, SDG 8 dan SDG 17.

“Untuk SDG 1, iaitu tiada ­kemiskinan. Penurunan peratusan di bawah garis kemiskinan daripada 8.4 peratus pada tahun 2020 ­kepada 6.2 peratus pada tahun 2022.

“SDG 8 iaitu (Pekerjaan Yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi) iaitu dengan kadar ­pengangguran telah menurun daripada 4.6 ­peratus pada tahun 2021 ­kepada 3.4 ­peratus pada Ogos 2023 dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat): Penggunaan Internet individu ­meningkat ­daripada 81.2 peratus pada tahun 2018 ­kepada 97.4 ­peratus pada tahun 2022,” kata Perdana Menteri ­selepas ­mempengerusikan ­mesyuarat Majlis SDG Negara bagi tahun 2023 di Parlimen pada Selasa.

Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Anwar berkata menyedari ­bahawa untuk mencapai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030) hanya berbaki ­lebih kurang tujuh tahun sahaja lagi, mesyuarat Majlis SDG Negara telah memuktamadkan enam keputusan bagi memastikan pelaksanaan SDG yang lebih berkesan.

“Kerajaan perlu ­menambah baik struktur tadbir urus SDG Kebangsaan selari dengan fungsi semasa ­kementerian-kementerian dan memperkasa peranan ­kementerian-kementerian di ­peringkat persekutuan sebagai ­kementerian peneraju bagi setiap matlamat SDG.

“Kementerian ­peneraju ­bertanggungjawab ­untuk ­melaksanakan gerak kerja ­bagi memastikan setiap sasaran SDG dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam hubungan ini, semua wacana dan program ­anjuran kementerian dan ­agensi perlu ­dijajarkan kepada SDG,” katanya.

Kata Anwar, Pusat SDG Negara (PSN) di bawah Kementerian Ekonomi ­dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan ­tindakan penyelarasan SDG di peringkat kebangsaan, menambah baik pencapaian SDG negara ­serta meningkatkan ­kesedaran ­dalam pelaksanaan SDG dan penerimagunaan prinsip alam ­sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Buat pertama kalinya, Malaysia menetapkan sasaran indikator SDG kebangsaan dan memuktamadkan sembilan inisiatif mempercepat (accelerator initiative) pencapaian SDG di Malaysia dan semua ­sasaran indikator SDG kebangsaan dan ­inisiatif ini akan diterjemahkan dalam Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Fasa 2 yang akan diterbitkan pada bulan Disember 2023,” katanya.

Ujar Perdana Menteri, untuk mencapai Agenda 2030, ­kerajaan akan terus memperkukuhkan ­tindakan bagi mencapai 17 SDG dan menuntut komitmen daripada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan yang lain adalah penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas