Selebriti

Tia Jinbara meninggal dunia

- Diterbit 8 November 2023 2:57 PM MYT

BEKAS vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenarnya Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, telah meninggal dunia pada pukul 9.17 malam tadi , di Hospital Shah Alam,   akibat masalah kanser hati.

Perkara itu disahkan isterinya, Suzan Ahmad, menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

Terdahulu, Tia disahkan menghidap kanser hati dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam sejak Rabu minggu lalu.

Tia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit perut dan setelah pelbagai pemeriksaan dijalankan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan terakhir, CT Scan, barulah doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada hatinya.

Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi, Tia bersama kumpulan Jinbara cukup terkenal menerusi lagu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dan pernah menyertai Gegar Vaganza musim keempat.

Tia berkahwin dengan Suzan Ahmad, yang juga ibu tunggal tiga cahaya mata pada Mei 2009. Bagaimanapun perkahwinannya bersama Suzan tidak dikurniakan cahaya mata. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas