SEORANG pekerja hotel di sini maut akibat terkena renjatan elektrik tiang lampu jalan di laluan pejalan kaki, Jalan Tanjung Purun semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Superintenden Ahmad Jawila, mangsa maut yang dikenali Ryandeigo Roselee, 18, yang berasal dari Sook, Keningau, Sabah.
“Remaja itu tersentuh tiang lampu bervoltan tinggi ketika berjalan di laluan berbumbung sepanjang 50 meter yang berpagar dan tercampak ke laluan pejalan kaki,” katanya pada sidang media di sini, pada petang Khamis.
Ahmad berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pengadu yang merupakan abang mangsa telah keluar berjalan kaki mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah setelah habis berkerja sekitar 11.30 malam.
“Mangsa dijumpai pengadu, dalam keadaan terbaring di tempat kejadian. Mangsa disahkan meninggal dunia disyaki akibat terkena renjatan eletrik tiang lampu berdekatan.
“Mayat mangsa dihantar Hospital Labuan untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemeriksaan di tiang lampu mendapati ia dalam keadaan baik dan tiada wayar hidup yang terdedah di luar tiang lampu itu.
“Susulan daripada kejadian itu, Perbadanan Labuan (PL) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah pun memutuskan bekalan elektrik di lokasi tersebut.
“Laluan tersebut kini ditutup sehingga pengesahan tahap keselamatan daripada agensi terlibat diperoleh,” katanya lagi.
Justeru itu, polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang terdapat bekalan punca arus elektrik terutama pada musim hujan ketika ini bagi mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. – WILAYAHKU