Berita

Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan kembali iktiraf ahli sukan

PESERTA Bengkel Pemurnian Kriteria Pemilihan Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 26 Mac 2023 1:00 AM MYT

SELEPAS empat tahun tidak dianjurkan, kini Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan bakal kembali pada Oktober ini untuk mengiktiraf atlet, jurulatih, pengurus dan pegawai sukan di Wilayah Persekutuan yang beraksi cemerlang bagi edisi 2021/2022.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nabilah Zakaria berkata kali terakhir anugerah tersebut dianjurkan adalah pada edisi 2017/2018 lalu.

“Pandemik COVID-19 sebelum ini telah menyebabkan Sukan Malaysia (SUKMA) beberapa kali ditangguhkan dan seperti semua sedia maklum temasya itu tidak dapat dianjurkan sehinggalah pada tahun lepas (2022).

“Oleh kerana SUKMA tidak dianjurkan, maka Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan tidak dapat dianjurkan dan kini setelah SUKMA kembali maka anugerah ini akan mewarnai dunia sukan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Nabilah berkata Bengkel Pemurnian Kriteria Pemilihan Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan telah diadakan pada 14 hingga 16 Mac lalu di Kuala Lumpur dengan memutuskan beberapa perkara untuk penambahbaikan daripada segi kriteria pemilihan dan sebagainya.

“Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan mula diperkenalkan pada tahun 2007 lagi dan diharap penganjuran ini akan terus memberi galakan dan motivasi kepada ahli sukan di Wilayah Persekutuan supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang bukan sahaja di Wilayah Persekutuan malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, penerima olahragawan dan olahragawati Wilayah Persekutuan bagi edisi 2017/2018 ialah pemain boling, Muhammad Rafiq Ismail dan juga penerjun, Nur Dhabitah Sabri.

Sementara Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan 2017/2018 dimiliki pemain kriket, Virandeep Singh dan juga Rayna Hoh daripada sukan gimrama. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas