MAJLIS Pengetua Sekolah Malaysia Putrajaya dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) meraikan Majlis Persaraan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya, Farizah Ahmad dalam satu jamuan minum petang di Cruise Tasik Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut Pengurus Kanan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T), YWP, Zahrulail Abdul Rahman, majlis tersebut merupakan penghargaan bagi menghargai jalinan kerjasama antara kedua belah pihak sejak tahun 2017.
“Beliau banyak memudahkan program-program pendidikan YWP selain membantu pihak kami mengenal pasti pelajar yang layak menerima skim yang ditawarkan di bawah YWP. Antara program yang pernah dianjurkan bersama adalah Skim Biasiswa Sekolah Menengah, Bantuan Pemakanan, bantuan one-off dan banyak lagi.
“Tanpa kerjasama beliau, ia akan menyukarkan proses penyampaian bantuan kepada murid sekolah yang memerlukan,” katanya kepada Wilayahku.
Zahrulail mewakili pihak YWP turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas kerjasama baik dan bantuan yang telah diberikan oleh Fariza dalam membantu melancarkan segala program yayasan khususnya pendidikan selama ini.
Dalam pada itu YWP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam program-program yang dianjurkan semua pihak termasuklah jabatan kerajaan mahupun swasta.
“Jika terdapat apaapa program yang akan dilaksanakan boleh usulkan ke YWP. Sekiranya kami tidak dapat menaja sepenuhnya mungkin boleh menjadi sebahagian daripada rakan strategik,” ujarnya lagi. -WILAYAHKU