Biz

Program Suri Pau bantu jana pendapatan

|
- Diterbit 22 Februari 2023 3:22 PM MYT

KUIH pau, antara hidangan kuih yang sering menjadi kegemaran ramai dan mudah diperolehi sama ada di restoran, pasar malam atau dari peniaga gerai di tepi jalan.

Pau berintikan kacang merah, kelapa, kaya sudah lama popular dan kini terdapat juga inti pau digantikan dengan campuran kentang dan ayam atau daging. Pau juga mengalami inovasi apabila dipelbagaikan warna dan bentuknya.

Menyedari kuih pau selalu menjadi tarikan pembeli, harga yang mampu milik, boleh dimakan terus dan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan peniaga dan usahawan, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya memperkenalkan program pembangunan usahawan Suri Pau.

Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (kanan) bersama pengasas Comel Food, Anwar Atan (kiri) dan isteri Raslinda Chek Dol selepas majlis perasmian Program Pembangunan Usahawan Suri Pau di Cyberjaya baru baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, langkah tersebut bertujuan mendorong orang ramai untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Justeru katanya, program tersebut bukan hanya melibatkan golongan yang berpengalaman sahaja sebaliknya orang ramai termasuk suri rumah juga dialu-alukan melibatkan diri.

“Inisiatif yang dilakukan DPIM ini untuk membantu menggerakkan program-program keusahawanan mengikut kekuatan ahli-ahlinya kerana dalam sesebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti ini, apa yang lebih penting peluang di kalangan mereka diberikan sama rata.

“Misalnya program Suri Pau bukan hanya kepada ahli DPIM tetapi juga mengajak sesiapa sahaja yang baharu menjinakkan diri dalam perniagaan atau menambah produk sampingan kerana program yang ditawarkan ringkas dan mudah.

“Al Ansar Marketing Resources telah dipilih untuk menggerakkan pemasaran menggunakan kaedah sistem digital untuk memudahkan pesanan dan penghantaran.

“Manakala Comel Food yang mengeluarkan pau Suri bertindak sebagai pembekal. Gabungan DPIM dan dua entiti tersebut dikukuhkan lagi dengan sokongan beberapa agensi seperti Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Tekun serta Agro Bank,” ujarnya.

Tambahnya lagi bagi fasa pertama, pihaknya mensasarkan 50 usahawan akan dilahirkan di Lembah Klang sebelum program diluaskan di negeri-negeri lain.

“Melalui jumlah tersebut, DPIM mensasarkan jualan sebanyak RM500,000 dalam tempoh setahun dengan pengenalan dua pakej. Pakej A ditawarkan dengan nilaian RM3,000 manakala pakej B bernilai RM5,000.

Usahawan akan diberikan kelengkapan memulakan perniagaan, latihan dan bimbingan. Antaranya melalui lantikan beberapa peniaga berpengalaman sebagai mentor yang akan melantik “kaki pau” untuk dilatih sehingga berjaya menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengasas Comel Food, Anwar Atan memberitahu, beliau dan isterinya Raslinda Chek Dol, telah lebih 15 tahun menguasahakan pau Suri yang mula diniaga dan dipasarkan di gerai tepi jalan.

“Kami sudah menjual pau di tepi jalan sejak tahun 2007 di Bandar Baru Bangi, Selangor dan dalam tempoh tersebut sudah mampu berpindah ke kedai sendiri serta mempunyai kilang pengeluaran.

“Kini terdapat 10 jenis pau dikeluarkan termasuk pau inti kaya, kelapa, kacang merah, coklat, rendang juga pau bentuk cendawan berintikan ayam dan daging di samping dua jensi dim sum,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan pengalaman memasarkan pau di sekitar Lembah Klang, pihaknya kini sudah berupaya mengeluarkan maksimum 20,000 biji pau sehari mengikut permintaan.

“Kami sudah merasai pahit manis dalam meniaga pau dan kini sudah sampai masa untuk berkongsi dengan orang ramai yang berminat. Mereka beruntung kerana melalui pakej yang diperkenalkan akan dibekalkan dengan peralatan mengkukus pau yang lengkap termasuk gerai untuk memulakan perniagaan walaupun meniaga dari rumah.

“Lebih daripada itu, mereka juga akan dibantu oleh pihak DPIM dan agensi kerajaan yang terlibat serta bimbingan berterusan sehingga boleh berdikari.

“Pau sangat mudah dijual kerana permintaan sentiasa tinggi kerana ia boleh dimakan terus atau dijual secara sejuk beku malah penyediaannya juga mudah. Secara purata pau boleh terjual sehingga 100 biji sehari dengan pendapatan bulanan RM2,500 sebulan,” ujarnya.

Kepada yang berminat memulakan perniagaan melalui program Suri Pau hubungi talian 0172248222. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas